Multiculturalism – Speech by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 3 October 2017)

 

(in Malay)

Tuan Speaker, saya menyokong usul yang dibentangkan ini dan ingin menyumbang cadangan dalam usaha untuk memperkukuhkan perpaduan sosial agar masyarakat Singapura yang berbilang kaum dan agama berdiri teguh, sehati-sejiwa, bersama-sama mencegah, memerangi dan membasmi gejala radikalisma dan keganasan atau terorisme.

Tuan, berita-berita mengenai serangan pengganas telah menjadi agak lumrah semenjak dekad yang lalu. Selalu dilaporkan kejadian-kejadian keganasan yang berlaku samada secara berkumpulan atau individu adalah dilakukan oleh mereka-mereka yang dipengaruhi dan terjebak dengan ideologi-ideologi radikalisma. Dari pemantauan dan pengamatan ramai pakar-pakar, gejala keganasan dan radikalisma tidak mudah untuk ditangani, dihentikan dan bermungkinan besar akan berlarutan pada masa-masa mendatang.

Soalannya, apakah yang meyebabkan seseorang boleh terpengaruh dengan unsur-unsur radikalisma sehingga boleh terjebak dan berani melakukan tindakkan ganas, membunuh jiwa yang tidak berdosa serta merosakkan harta benda awam? Bagaimanakah minda seseorang individu boleh dapat menerima bahawa tidak ada salahnya untuk melakukan tindakan keganasan atas justifikasi bagi mencapai sesuatu perubahan dan keadilan?

Tuan, kita semua mengetahui bahawa proses radikalisasi selalunya membabitkan pengunaan doktrin-doktrin agama dan politik untuk memanupulasikan minda-minda agar individu-individu dapat menerima unsur-unsur keganasan sebagai satu cara atau pendekatan yang dibolehkan, malah ada yang berpendapat diwajibkan, dalam mencapai sesuatu objektif. Proses ini selalunya digunakan oleh pihak-pihak pelampau yang berpendirian tegar dan taksub kepada sesuatu ideologi agama atau politik. Oleh itu, cara yang terbaik bagi melawan unsur-unsur radikalisasi ialah dengan menerapkan pada warga Singapura nilai-nilai agama yang sahih atau otentik, ilmu yang memantapkan perwatakan seseorang dan juga nilai-nilai kemasyarakatan dan kenegaraan.

Tuan, di Singapura, sejak awal 2000-an, kita telah menyaksikan kes-kes radikalisma yang membabitkan warga Singapura dengan penggunaan doktrin keagamaan. Kita dapat melihat bagaimana kumpulan Jemaah Islamiah (JI) dan ISIS menyalah gunakan ajaran Islam dalam memanupulasi dan meradikalisasikan minda-minda individu justeru menjerumus mereka kearah keganasan dengan alasan untuk menegakkan “kebenaran” dan “keadilan”.

Di Singapura, langkah-langkah pencegahan dan pemulihan telah diambil dan dijalankan bagi melawan ideologi-ideologi keagamaan yang bersifat radikal atau melampau. Penubuhan Religious Rehabilitation Group (RRG) adalah satu langkah bagi menjalankan proses pendidikan dan pemulihan semula individu-individu yang telah terjebak dan terpengaruh dengan fahaman radikal. Asatizah-asztizah dan ulama-ulama tempatan telah tampil kehadapan, berganding bahu dan menyumbang masa dan tenaga secara sukrelawan demi untuk membantu memulihkan individu-individu yang telah termakan dengan dakyah-dakyah radikalisma. Saya ingin mengambil peluang ini untuk merakam terima kasih kepada kesemua asatizah dan ulama yang telah berusaha dengan gigih, penuh kesabaran dan keihsanan dalam usaha ini.

Pengenalan Asatizah Recognition Scheme (ARS) juga adalah satu lagi usaha dalam memastikan agar bimbingan agama yang disampaikan adalah bersesuaian dengan cara kehidupan masyarakat Singapura yang berbeza-beza latarbelakang dan pada masa yang sama menghindarkan sebarang bimbingan yang berunsurkan ideologi kekerasan dan radikal.

Kedua-dua initiatif, RRG dan ARS, menunjukkan bahawa adalah penting dan perlu untuk diadakan usaha berunsurkan penerapan nilai-nilai agama yang asas (fundamental) dan sahih, bagi melawan dan mencegah radikalisma dan pelampauan dalam beragama.

Tuan, pepatah inggeris, ‘Prevention is better than cure’, bermaksud pencegahan adalah lebih baik daripada mengubati. Pencegahan adalah satu langkah yang amat efektif dalam menangani gejala radikalisma. Usaha pencegahan peringkat awal atau ‘upstream intervention’ harus di ambil dengan penerapan ilmu-ilmu yang relevan bagi melawan arus radikalisasi, gejala yang sedang melanda masyarakat dunia.

Disini, saya ingin mencadangkan agar usaha-usaha penerapan nilai-nilai agama diperingkat awal harus dilakukan melalui sistem pendidikan negara. Ini boleh dilakukan dengan diadakan semula mata pelajaran ‘Religious Knowledge’ (RK) di peringkat sekolah menengah.

Tuan, saya akur bahawa Singapura adalah sebuah negara sekular dan cadangan saya untuk mengenalkan semula mata pelajaran RK adalah bertentangan dengan nilai-nilai sekularisma, namun saya rasa langkah ini adalah perlu. Ini adalah kerana gejala terrorisma secara global dan juga di Singapura membuktikan bahawa doktorin keagamaan telah digunakan dalam meradikalisasikan individu-individu. Saya percaya hanya dengan menanamkan fahaman agama yang sahih diperingkat awal menerusi sistem pendidikan Singapura adalah cara yang lebih efektif dalam usaha pencegahan pemikiran beragama yang radikal. Kita harus terbuka untuk membuat sedikit pelarasan dan perubahan jika keadaan memerlukan demi untuk menjamin perpaduan sosial dan kemakmuran negara.

Tuan, selain dari mata pelajaran RK, saya juga ingin cadangkan agar memperkenalkan ilmu Psikologi sebagai satu komponen mata pelajaran sains di peringkat sekolah menengah. Mengapa Psikologi? Awal tadi, saya telah berkongsi tentang pihak-pihak pelampau dan pengganas memanipulasikan minda dalam usaha mereka untuk meradikalisasikan seseorang individu. Manipulasi minda dilakukan dengan menanam perspektif dan persepsi yang menjerumus kepada menerima dan membenarkan propaganda yang disampaikan. Saya berpandangan bahawa isu manipulasi ini boleh ditangkis dengan ilmu Psikologi.

Psikologi adalah ilmu sains mengenai aspek minda dan tingkah laku. Antara bidang-bidang yang dirangkumi adalah pembangunan manusia, tingkah laku sosial dan proses kognitif termasuk subjek tentang persepsi. Seseorang yang dilengkapi dengan ilmu psikologi akan berkemungkinan besar membina sifat peka tentang diri sendiri dan orang-orang disekelilingnya.

Ilmu psikologi juga amat relevan dalam konteks masa kini, bukan sahaja bagi menangani manipulasi minda yang berkaitan dengan radikalisma tetapi juga dengan gejala-gejala sosial yang tercetus dari pengunaan media sosial. Kita dapat melihat berlaku banyak situasi di mana timbulnya konflik di media sosial yang tercetus atas dasar perbezaan perspektif dan persepsi yang kurang tepat mengenai isu-isu semasa dan isu-isu yang sensitif. Seringkali, ianya sampai ke tahap kutuk-mengutuk dengan penggunaan perkataan-perkataan dan frasa-frasa yang tidak sewajarnya. Saya percaya dengan berbekalkan ilmu psikologi yang diraih semasa dibangku sekolah, ia akan membolehkan keterbukaan minda apabila difahami bahawa kewujudan perbezaan perspektif dan persepsi adalah lumrah kehidupan dan seharusnya kita perlu mengamalkan sifat saling hormat-menghormati terhadap perbezaan yang ada seperti pepatah Melayu ‘Rambut sama hitam, hati lain-lain’ dan kekata Inggeris pula ‘Agree to Disagree’.

Selain penerapan nilai-nilai agama dan ilmu psikologi, penerapan nilai-nilai kemasyarakatan dan kenegaraan adalah sama penting. Di negara kita ini, penerapan nilai-nilai kemasyarakatan dan kenegaraan telah dilakukan diperingkat persekolahan melalui mata pelajaran Pendidikan Nasional (National Education). Ini adalah satu langkah yang dialuk-alukan dan telah banyak mendatangkan manfaat.

Tuan, saya berpandangan dan percaya gabungan ketiga-tiga aspek, nilai-nilai agama, ilmu psikologi dan nilai-nilai kemasyarakatan dan kenegaraan adalah satu kombinasi yang perlu dalam usaha untuk memperkukuhkan perpaduan sosial yang sedia ada. Ini adalah kerana kombinasi ini akan melahirkan individu-individu yang mempunyai perwatakan yang positif dan bangga dengan jati diri sebagai seorang warga negara Singapura dan ini akan memantapkan lagi usaha-usaha untuk memperkukuhkan perpaduan sosial di Singapura.

Terima Kasih Tuan.