Pertama sekali, saya ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan ucapan terima kasih saya kepada pengundi-pengundi GRC Aljunied yang telah memberi saya dan rakan-rakan seperjuangan saya kepercayaan buat kali yang kedua untuk menjadi suara mereka didalam dewan ini.
Dalam ucapan Tuan Presiden tempoh hari, beliau telah menyentuh lima matlamat penting bagi masyarakat Singapura agar negara ini akan sentiasa dalam keadaan teguh, dihormati dan disegani diperingkat dunia. Saya setuju dan menyokong matlamat-matlamat yang telah dilakarkan.
Mewujudkan Masyarakat yang Lebih Baik Budi dan Penyayang
Pada ucapan ini, saya akan memberikan tumpuan kepada matlamat ‘Mewujudkan masyarakat yang lebih baik budi dan penyayang’, Saya berikan tumpuan kepada matlamat ini secara khusus kerana yang saya berkepercayaan bahawa ia adalah matlamat tunggak yang menjadi faktor asas untuk mencapai matlamat-matlamat yang lain.
Masyarakat yang mempunyai nilai budi baik dan penyayang secara lumrah adalah masyarakat yang mempunyai sifat saling percaya-mempercayai dan saling bantu-membantu walaupun ianya sebuah masyarakat yang terdiri dari berbilang kaum, berbeza pegangan agama dan latar belakang; seperti masyarakat Singapura. Sifat-sifat ini akan mewujudkan hubungan yang amat erat sesama kaum dan justeru akan terbentuk sebuah perpaduan. Kesepaduan kaum amat diperlukan untuk mengecapi apa juga matlamat-matlamat yang diingini.
Jadi, apakah faktor-faktor yang memberi kesan terhadap melahirkan masyarakat yang baik budi dan penyayang? Tidak dapat dinafikan bahawa falsafah politik dan prinsip pentadbiran yang dipegang dan digunakan oleh sesebuah pemerintah adalah antara faktor asas. Ini adalah kerana falsafah politik dan prinsip sesebuah pemerintah adalah merupakan teras dalam pembentukan dasar-dasar dan skim-skim pemerintah yang akan diaplikasikan dalam pentadbiran negara. Dasar-dasar dan skim-skim yang diimplementasikan oleh pemerintah memberi kesan terhadap pembentukan sesebuah masyarakat. Ini seumpamaan seperti sifat dan keadaan sesebuah keluarga yang terbentuk, sama ada baik atau kurang baik, adalah dari hasil cara-cara yang digunakan oleh ketua keluarga tersebut dalam menerajui keluarganya.
Kita dapat melihat bahawa pada penggal Parlimen ke 12, Pemerintah PAP telah mengambil langkah perubahan terhadap falsafah politik dan prinsip dalam pentadbiran negara. Ini diakui sendiri oleh Timbalan Perdana Menteri Encik Tharman yang mengatakan bahawa “Pada kebelakangan ini pemerintah telah membuat peralihan dengan mengambil pendekatan yang condong sedikit ke arah kiri dalam perlakaran dan perlaksanaan dasar-dasar sosial dan cara bantuan yang dihulurkan kepada golongan yang memerlukan”. Juga berlaku dalam penggal Parlimen ke 12 ialah peralihan perspektif pemerintah mengenai prinsip meritrokasi. Perdana Menteri Encik Lee Hsien Loong dalam sebuah temuduga media menyatakan bahawa ‘Compassionate Meritrocacy’ atau ‘Meritrokasi yang Ihsan’ adalah kunci menuju dan mengharungi masa depan. Perkataan ‘Compassionate Meritrocacy’ ini mula digunakan oleh Menteri Kanan Emeritus Encik Goh Chok Tong dimana beliau menerangkan bahawa ‘Compassionate Meritrocacy’ adalah konsep dimana golongan yang telah berjaya menghulurkan pertolongan kepada golongan yang masih mencari kejayaan. Prinsip ‘Compassionate Meritrocacy’ dapat dilihat dalam perlaksanaan skim Medishield Life dan juga pada perubahan yang dilakukan kepada sistem cukai pendapatan yang diumumkan semasa sesi belanjawan 2015, dimana ada sesetengah penganalisa memberi nama jolokkan Belanjawan 2015 sebagai Belanjawan Robin Hood, yang bererti mengambil dari golongan yang berada untuk diberi kepada golongan yang memerlukan.
Perubahan-perubahan dari aspek falsafah dan prinsip yang berlaku ini telah menyebabkan Pemerintah memberi lebih fokus kepada dasar-dasar sosial dan menyalurkan bantuan dan sokongan sosial yang lebih banyak berbanding masa-masa sebelum ini. Beberapa skim-skim bantuan sosial telah diperkenalkan seperti Pakej Generasi Perintis dan ‘Silver Support’ untuk memberi keselesaan kepada generasi perintis dan warga emas dalam membantu menampung perbelanjaan asas mereka. Skim-skim bantuan kewangan seperti Comcare juga diperluaskan lagi agar lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat sokongan yang sepatutnya. Apakah pencetus yang menyebabkah pemerintah mengambil langkah-langkah perubahan? Pendapat saya, suara rakyat. Suara rakyat yang telah dilaungkan menerusi kertas-kertas undi pada pilihanraya umum 2011 dan pilihanraya kecil 2012 dan 2013.
Mempertingkatkan Bantuan Sosial
Puan,
Dalam ucapan Presiden, beliau menyatakan bahawa usaha menghulurkan bantuan bagi golongan yang memerlukan adalah satu usaha yang berterusan dan perlukan pengubahsuaian dari semasa-kesemasa, namun beliau juga memberi peringatan agar kita harus berhati-hati supaya bantuan-bantuan sosial tidak dilakukan secara berlebihan seperti yang banyak berlaku di negara-negara maju sehingga mendatangkan komplikasi kepada negara. Parti Pekerja bersetuju dengan peringatan yang diberi oleh Tuan Presiden. Parti Pekerja menyokong usaha-usaha pemerintah dalam mempertingkatkan bantuan sosial namun pada masa yang sama kami juga akui perlu adanya sifat berhati-hati agar tidak menyebabkan kemudaratan. Memandangkan sedemikian saya ingin sekali lagi mencadangkan agar diadakan sistem pemantauan bagi skim-skim bantuan sosial yang sedia ada. Cadangan ini telah saya ketengahkan semasa debat pada pembukaan Parlimen ke 12 sesi kedua. Dengan adanya sistem pemantauan yang sedemikian, kita boleh dapat mengetahui keberkesanan skim-skim bantuan yang diberi dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya agar skim-skim dapat diperbaiki.
Pada penggal Parlimen yang lalu, Pemerintah juga telah memperluaskan perkspektif mereka dalam sektor Pendidikan. Skim Edusave telah dilanjutkan kepada pelajar-pelajar privet termasuk pelajar-pelajar di madrasah sepenuh masa setelah hampir 20 tahum skim ini dimulakan. Kementerian Pendidikan yang selama ini mempertahankan bahawa Skim Edusave hanya boleh diperuntukan kepada pelajar-pelajar yang menuntut disekolah-sekolah nasional telah merubah pendirian mereka dengan tujuan agar lebih ramai lagi pelajar-pelajar Singapura mendapat manfaat dari Edusave.
Pelancaran ASPIRE pada 2013 telah memberi pengiktirafan dan sokongan yang lebih baik kepada pelajar-pelajar serta graduan-graduan ITE dan politeknik dalam mempertingkatkan mutu kemahiran dan peningkatan kerjaya yang lebih baik. Ini juga agak berlainan dengan kebiasaan pemerintah yang selalu memberi lebih ransangan kepada pelajar-pelajar agar melanjutkan pengajian diperingkat universiti sebagai cara untuk meraih kemajuan dan kejayaan dalam bidang kerjaya yang diceburi.
Walaupun banyak peningkatan dan perubahan telah dilaksanakan pada dasar-dasar dan skim-skim pemerintah namun usaha-usaha menaik tarafkan kehidupan masyarakat Singapura perlukan usaha yang berterusan. Pada masa kini, masih banyak lagi perkara yang masih boleh diperbaiki dan dilaksanakan. Sesetengah dasar-dasar dan skim-skim pemerintah yang sedia ada, masih memerlukan semakkan semula agar ianya kekal relevan dengan keadaan kehidupan yang sentiasa berubah dan mencabar terutama apabila dasar dan skim ini boleh menjejas kesejahteraan kehidupan warga Singapura. Antara contoh skim-skim yang sedia ada yang saya rasa perlu mendapat perhatian pemerintah adalah skim rumah sewa awam dan skim COE.
Dari pengamatan saya, masih ada sebilangan rakyat Singapura yang memerlukan rumah sewa awam kerana disebabkan situasi kewangan dan kehidupan berkeluarga yang semakin mencabar. Namun, golongan ini tidak layak mendapatkan rumah sewa awam kerana tidak dapat memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan. Kesudahannya, kebanyakan dari golongan ini terpaksa menyewa bilik di pasaran terbuka dan perkara ini menyebabkan mereka terus menghadapi situasi kewangan dan kekeluargaan yang tidak stabil. Ini disebabkan mereka terpaksa membelanjakan sejumlah besar dari pendapatan bulanan mereka membayar sewa bilik dan juga menghadapi tekanan psikologi kerana kesempitan ruang. Bagi golongan yang tidak mampu untuk menyewa dari pasaran terbuka dan tidak mempunyai alternatif lain, tempat-tempat awam seperti kolong flat dan pantai menjadi tempat kediaman mereka.
Saya juga mencadangkan agar semakan semula dilakukan kepada skim COE terutama bagi kategori motosikal, agar golongan masyarakat yang mencari nafkah menerusi pengunaan motosikal tidak terbeban dengan harga COE yang melampau.
Saya menggunakan contoh-contoh diatas adalah kerana saya ingin memberi gambaran situasi dimana masih ada golongan rakyat Singapura menghadapi kesukaran dan tekanan akibat daripada kesan sampingan dasar-dasar dan skim-skim pemerintah yang sedia ada. Tekanan timbul kerana dasar-dasar ini menjejas usaha seseorang individu untuk memenuhi keperluan asas kehidupan iaitu seperti tempat tinggal, mata pencarian rezeki dan hubungan kekeluargaan. Ini boleh menyebabkan golongan-golongan masyarakat Singapura yang terjejas akan merasakan diri mereka terpinggir kerana keperluan asas mereka seperti tidak diendahkan oleh pemerintah. Atas keterangan yang saya kongsikan adalah perlu untuk dasar-dasar sedemikian disemak semula.
Secara amnya, saya mengalu-alukan perubahan, penambahan dan pembaikan kepada dasar-dasar dan skim-skim pemerintah dalam usaha untuk mewujudkan masyarakat inklusif yang baik budi dan penyanyang. Ia adalah satu langkah yang baik yang mendapat sambutan masyarakat termasuk kami AP-AP Parti Pekerja. Ini adalah kerana matlamat ini seiras dengan visi utama Parti Pekerja yang telah terlakar sejak ia ditubuhkan pada 1957, iaitu Ke Arah Masyarakat Yang Penyayang , dengan berteraskan falsafah dimana setiap dasar-dasar yang dilakar dan dilaksanakan pemerintah harus mengambil kira dan menitik beratkan aspek keperluan insani. Hanya dengan langkah-langkah yang sedemikian, semangat inklusif, sifat-sifat baik budi dan kasih sayang akan sentiasa membara dalam jiwa masyarakat Singapura, justeru masyarakat akan rasa lebih teruja untuk memberi dan menyumbangkan yang terbaik dalam proses pembangunan negara.
Sgfuture Engagement
Sekarang, saya beralih fokus ucapan saya kepada satu perkara yang terdapat didalam kenyataan tambahan atau ‘Addenda’ Kementerian Masyarakat, Kebudayaan dan Belia. Kementerian Masyarakat, Kebudayaan dan Belia (MCCY) ada menyatakan tentang ‘Sgfuture Engagement’ yang berfungsi sebagai sebuah platform bagi perbincangan demi mencapai sebuah masa depan yang dikongsikan bersama atau ‘shared future’. Saya sokong niat baik disebalik idea ‘Sgfuture Engagement’ ini dalam menyediakan ruang dan peluang bagi masyarakat Singapura, yang berbilang kaum serta berbeza pegangan agama dan latar belakang untuk menyuara, mendengar serta bertukar fikiran dan perspektif secara ikhlas dan terbuka. Perbincangan yang sedemikian ini amat positif kerana ia membolehkan sesuatu topik perbincangan itu dapat diteliti dan difahami dengan sebaik mungkin. Kefahaman dan kejernihan yang diperolehi dari sesi sebegini akan melahirkan persetujuan jika ada persamaan dalam perspektif dan sebaliknya dalam keadaan dimana timbul perbezaan yang tidak dapat dipersetujui, perbincangan yang dilakukan secara holistik ini akan dapat melahirkan rasa hormat diantara satu sama yang lain, seperti kekata Inggeris ‘Agree to Disagree’.
Disini, saya ingin membuat satu cadangan agar isu-isu yang bersifat terkini yang ada kesan kepada masyarakat umum dapat diperbincangkan pada platfom ‘Sgfuture Engagement’. Contohnya, isu yang sekarang hangat diperkatakan iaitu isu ancaman radikalisma. Selain itu, saya juga berharap agar platform ini juga boleh digunakan untuk mendapatkan pandang dan maklum balas holistik masyarakat bagi isu-isu yang dianggap sensitif seperti isu pemakaian hijab bagi muslimah yang bertugas dalam pasukan seragam seperti jururawat, pasukan askar, polis dan pertahanan awam. Pada 2013, dalam usaha menangani isu ini, Perdana Menteri telah mengadakan dialog bersama AP-AP Melayu Islam pemerintah dan tokoh-tokoh masyarakat Islam Singapura untuk menerangkan sebab pemerintah tidak membenarkan pemakaian hijab dalam pasukan berseragam Singapura. Saya menghargai usaha Perdana Menteri dalam mengadakan sesi dialog demikian. Namun, sebilangan masyarakat Islam Singapura termasuk saya sendiri merasakan perlu diadakan sesi dialog bukan hanya melibatkan masyarakat Islam, tetapi juga harus melibatkan masyarakat-masyarakat yang lain, ketua-ketua pasukan seragam dan juga agensi-agensi pemerintah atau bukan pemerintah yang mempunyai kecenderungan dalam isu ini. Sesi dialog yang diadakan sebegini akan membuka peluang kepada perbincangan berbilang hala kerana ia membolehkan perspektif-perspektif dan idea-idea dari kesemua pihak dibentangkan secara terbuka dan ikhlas. Ia juga membolehkan setiap pihak yang terbabit dapat memahami perspektif masing-masing dan dengan ini cuba mencari huraian yang terbaik. Saya rasa sesi dialog yang bersifat holistik sebegini adalah lebih positif, konstruktif dan inklusif dalam usaha kearah mencapai persetujuan yang kolektif tentang sesuatu isu. Ini pada akhirnya akan menjana sifat saling hormat-menghormati dan sayang-menyayangi dalam masyarakat Singapura.
Akhir Kata
Saya ingin mengakhiri dengan mengatakan bahawa AP-AP Parti Pekerja akan terus memainkan peranan kami dalam membantu proses pembentukan dasar-dasar dan skim-skim pemerintah dengan secara rasional, bertanggungjawab dan inklusif agar kita dapat mewujudkan sebuah masyarakat yang dinamik, yang berteraskan sifat baik budi dan kasih-sayang, dan seterusnya mengecapi matlamat-matlamat yang dilakarkan supaya Singapura akan kekal mampan dan menjadi negara contoh di mata dunia.
Terima Kasih.