Constitution of the Republic of Singapore (Amendments) Bill – Speech by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 8 November 2016)

 

(In Malay)

Parti Pekerja menolak rang undang-undang (pindaan) yang dibentang dan sedang diperdebatkan ini. Kami ingin menyatakan bahawa kami tetap dengan pendirian kami yang asal, sejak penubuhan jawatan Presiden DiPilih (EP), iaitu kami tidak menyetujui dengan jawatan EP dan menyeru agar jawatan presiden dikembalikan kepada jawatan asal iaitu presiden yang dilantik.

Saya akan menyentuh tentang perbezaan pandangan yang terdapat dalam laporan Suruhanjaya Perlembagaan dan Kertas Putih pemerintah mengenai soalan ‘Patutkah Jawatan Presiden Dikekalkan sebagai Jawatan yang DiPilih’ dan juga pendirian Parti Pekerja perihal ini. Saya juga akan menyentuh tentang diadakan pilihanraya presiden khusus bagi masyarakat minoriti agar berpeluang menjadi presiden.

 

Perbezaan pandangan anatara Suruhanjaya Perlembagaan dan Pemerintah, ‘Patutkah Jawatan Presiden Dikekalkan sebagai Jawatan yang DiPilih’.

Seperkara yang telah menarik perhatian saya yang terdapat didalam laporan suruhanjaya perlembagaan adalah saranan agar pemerintah mempertimbangkan jawatan presiden dikembalikan kepada jawatan yang asal iaitu presiden yang dilantik. Perkara ini amat menarik kerana isu ini tidak terkandung di dalam terma rujukan atau ‘terms of reference’ pihak pemerintah kepada suruhanjaya perlembagaan untuk disemak dan dinilai. Namun suruhanjaya mengatakan, perkara ini ditimbulkan adalah kerana semasa mereka menjalankan tugas semakan ini, pihak suruhanjaya telah berpeluang untuk memberi tumpuan serta dapat membuat pertimbangan tentang kelebihan dan kelemahan skim EP dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan bagaimana kelemahan pada skim ini dapat diatasi dengan cara atau sistem yang alternatif.

 

Pandangan Suruhanjaya Perlembagaan dan Pemerintah mengenai ‘historical role’, penyatu negara

Saya ingin berkongsi butiran-butiran utama yang disentuh dan dibincangkan oleh pihak suruhanjaya perlembagaan dalam mencadangkan kepada pemerintah agar dipertimbangkan semula skim EP. Suruhanjaya menyatakan bahawa selepas 25 tahun skim ini diperkenalkan dan melalui peredaran situasi dan masa, diperhatikan telah timbul pergeseran nilai-nilai asas diantara dua peranan utama EP iaitu peranan ‘historical’, penyatu negara (unifying role), dan peranan ‘custodial’.

Suruhanjaya telah memberi sekurang-kurangnya tiga penerangan tentang pemerhatian mereka pada isu pergeseran ini. Pertama, suruhanjaya mendapati bahawa peranan ‘historical’ memerlukan seorang presiden yang berkecuali atau neutral, tidak menyebelahi mana-mana parti politik dan berperanan menyatupadukan negara. Sementara, peranan ‘custodial’ pula memerlukan seorang presiden yang akan berhadapan dan menegur pemerintah jika keadaan memerlukan – sebuah tanggungjawab yang agak tidak sesuai bagi sebuah jawatan yang seharusnya menjadi simbol penyatu negara.

Kedua, suruhanjaya selanjutnya mengatakan ada terselit sebuah ironi dalam skim EP. Ini adalah kerana proses pilihanraya presiden, yang sememangnya tidak lekang dari unsur-unsur politik dan memecah-belahkan, itu sendiri bercanggah dengan nilai-nilai peranan penyatu negara. Dalam kata lain, unsur-unsur politik dan memecah-belahkan ini tidak seharusnya ada dalam memilih seorang presiden yang akan menjadi simbol penyatu negara.

Ketiga, suruhanjaya mengatakan bahawa peranan presiden dipilih adalah untuk memeriksa pemerintah. Namun ironinya, aspek ini boleh dijadikan sebagai satu insentif kepada calon untuk berkempen diatas dasar anti-pemerintah. Seorang presiden yang sedemikian, yakni yang bersifat politik, sudah tentunya akan berkemungkinan untuk kerap bercanggah dengan pemerintah. Bila berlakunya situasi sebegini, sudah tentu ia memberi kesan yang negatif kepada peranan presiden sebagai penyatu negara.

Pemerintah telah menolak cadangan yang disarankan oleh pihak suruhanjaya

perlembagaan seperti yang tersebut didalam kertas putih pemerintah. Pemerintah

telah mengemukakan hujah-hujah yang berikut,

  • pemerintah menerima sememangnya wujud ketegangan diantara proses pengundian dan nilai-nilai peranan presiden yang dipilih sebagai penyatu negara. Namun pemerintah percaya ketegangan boleh dikurangi walaupun tidak dapat dihapuskan sama sekali.

Berkenaan dengan hujah ini, saya ada doa soalan bagi DPM Teo, (i) diatas dasar apakah pemerintah percaya ketegangan ini boleh dikurangi dan (ii) apakah cara-cara yang akan dilakukan oleh pemerintah untuk mengurangi ketegangan ini.

Hujah pemerintah kedua adalah,

  • walaupun berpotensi berlakunya ketegangan antara peranan ‘historical’ dan ‘custodial’ seperti yang dikenal pasti oleh suruhanjaya namun pemerintah mengatakan bahawa kesemua presiden dipilih sehingga kini telah menjalankan kedua-dua peranan atau tugasan ini dengan cemerlang.

Jawapan-jawapan yang diberikan oleh pemerintah perihal ini agak kurang menyakinkan. Sesuatu keburukan yang tidak berlaku pada masa lalu tidak bermakna atau semestinya ia tidak boleh berlaku pada masa yang mendatang.  Pada masa yang sama, kesemua presiden-presiden yang dilantik selama ini adalah dari kalangan individu-individu yang ada hubungan secara langsung atau tidak secara langsung dengan parti pemerintah sebelum mereka memegang jawatan presiden. Namun Puan, bayangkan situasi di mana semasa waktu berkempen pilihanraya presiden, ada beberapa calon yang menggunakan mesej-mesej yang berbaur politik demi untuk menarik undi seperti yang diperkatakan oleh suruhanjaya perlembagaan. Contohnya, jika dipilih sebagai presiden, mereka akan menjadi ‘check and balance’ terhadap pemerintah. Mesej yang demikian tidak tepat dengan peranan presiden yang dipilih iaitu ‘custodial role’, yang hanya tertumpu terhadap rizab negara dan beberapa tugasan lain. Perdana Menteri sendiri pernah menyentuh tentang perkara ini dalam ucapan beliau semasa debat ucapan presiden pada pembukaan parlimen ke 13, saya nukil ucapan beliau dalam bahasa Inggeris ‘By design, the President has no executive, policy-making role and this remains the prerogative of the elected Government commanding the majority in Parliament. But in the last Presidential Election, many people did not understand this. I suspect even now, quite a number of people still do not understand this. Regrettably, during the last Presidential Election, those who did not understand it included some candidates. They campaigned for President as if they were going to form an alternate Government’. Jika berlakunya situasi yang tidak diingini ini, dimana seorang calon presiden yang bersifat politik mengeksploitasikan agenda ‘memeriksa’ pemerintah sebagai satu insentif untuk berkempen diatas dasar anti-pemerintah, sudah tentu jika calon seperti ini terpilih dia akan berkemungkinan tinggi kerap bercanggah dengan pemerintah. Apabila berlakunya keadaan yang sedemikian sudah tentu ia akan menghalang tujuan peranan presiden sebagai penyatu negara. Saya percaya suruhanjaya apabila membuat pertimbangkan tentang hal ini, juga ada mengambil kira tentang situasi yang berlaku pada pilihanraya presiden 2011.

 

Pandangan Suruhanjaya Perlembagaan dan Pemerintah tentang ‘Custodial role’, penjaga

Sekarang saya akan menyentuh tentang peranan ‘custodial’. Walaupun suruhanjaya menyarankan agar skim EP ini dilucutkan sebagai satu usaha untuk memantapkan dan memperkasakan lagi peranan penyatu negara, namun suruhanjaya akui dan bersetuju bahawa peranan ‘custodial’ perlu dikekalkan, tetapi seorang presiden tidak seharusnya memainkan peranan ini. Suruhanjaya mencadangkan agar peranan ‘custodial’ ini diserahkan kepada sebuah badan yang dilantik yang dianggotai oleh para pakar. Suruhanjaya membayangkan badan yang dilantik ini sebagai sebuah badan dianggotai para pakar sebagai dewan kedua Parlimen yang diberi peranan untuk melambatkan proses, dengan memaksa untuk didebatkan semula dan memerlukan pihak pemerintah untuk membatalkan sebarang bantahan hanya dengan ‘supermajority’.

Puan,

Dalam menjawab mengenai saranan suruhanjaya agar pernanan ‘custodial’ diberikan kepada sebuah badan yang dilantik, pemerintah telah menggunakan hujah-hujah yang berikut untuk menolak saranan yang diketengahkan.

  • pemerintah percaya bahawa ‘kunci kedua’ harus di pegang oleh sebuah institusi yang mendapat mandat secara lansgung dari rakyat Singapura melalui proses pilihanraya. Ini adalah agar institusi ini ada kuasa moral serta mandat untuk melaksanakan kuasa veto terhadap pemerintah.
  • badan yang dilantik yang disyorkan oleh suruhanjaya hanya boleh memaksa supaya didebatkan semula dan tidak dibolehkan untuk veto initiatif permerintah memandangkan ia tidak mempunyai mandat demokratik untuk berbuat demikian.

Apabila direnungkan kembali perbezaan yang terdapat pada pandangan pemerintah dan suruhanjaya perlembagaan dalam persoalan ‘Patutkah Jawatan Presiden Harus Dikekalkan sebagai Jawatan yang DiPilih’, didapati bahawa kedua-dua pihak, suruhanjaya perlembagaan dan pemerintah bersetuju adanya ketegangan (tension) apabila seorang presiden menjalankan kedua-dua peranan ‘historical’ dan ‘custodial’.

Jika kita mendalami hujah yang diketengahkan oleh suruhanjaya perlembagaan, ianya bersifat (i) memandangkan kehadapan and (ii) bersifat preventive, ‘pencegahan’, demi untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku.  Sementara hujah pemerintah adalah berdasarkan pengalaman yang telah dilalui selama tempoh 4 penggal presiden yang lalu dan juga atas alasan sesuatu boleh dilakukan tentang ketegangan yang berlaku namun, permerintah tidak menyebutkan cara-cara bagaimana ia boleh dikurang atau diatasi.

Pemerintah selalunya berpegang pada prinsip berhati-hati dan mengambil sikap berjaga-jaga serta pencegahan dalam melakarkan dasar-dasar negara demi untuk mengelakkan atau mengurangkan risiko sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku. Atas penjelasan ini, saya mengatakan hujah pemerintah yang digunakan untuk menolak cadangan suruhanjaya perlembagaan dalam perkara ini tidak selari dengan prinsip dan sikap pemerintah yang saya telah sebutkan.

Sepekara lagi mengenai perbezaan pandangan antara pemerintah dan suruhanjaya perlembagaan terhadap soalan ‘Patutkah Jawatan Presiden Dikekalkan sebagai Jawatan yang DiPilih’, saya ingin mengajak kita semua membuat penilaian yang ikhlas. Suruhanjaya perlembagaan, yang ditubuhkan oleh Perdana Menteri sendiri, dianggotai oleh individu-individu yang tidak mempunyai sebarang kepentingan politik, berpandangan agar dikembalikan jawatan presiden kepada jawatan yang dilantik dengan keprihatinan agar dapat mengelakkan sesuatu yang tidak diingini daripada berlaku pada masa mendatang iaitu (i) perpecahan masyarakat dan (ii) pertelagahan berunsurkan politik antara presiden dengan pemerintah. Sebaliknya pihak yang ingin mengekal skim presiden dipilih adalah sebuah parti politik yang memerintah…..RENUNGKANLAH!

 

Pendirian Parti Pekerja tentang ‘historical role’ dan custodial role’

Kini, saya ingin menyatakan tentang pendirian Parti Pekerja mengenai soalan ‘Patutkah Jawatan Presiden Dikekalkan sebagai Jawatan yang DiPilih’.  Dalam perkara ini kami cenderung pada pandangan yang dianjurkan oleh suruhanjaya perlembagaan iaitu (i) agar skim presiden dikembalikan semula kepada jawatan presiden dilantik dan (ii) pernanan ‘custodial’ diserahkan kepada sebuah badan. Namun, ada perbezaan antara saranan kami dengan saranan suruhanjaya mengenai peranan ‘custodial’. Kami menyarankan agar peranan ini diberi kepada dewan negara atau Senate dianggotai oleh 8 individu-individu yang dipilih melalui proses pilihanaraya nasional. Ini adalah kerana kami percaya individu-individu yang memegang tanggungjawab ini harus mendapat mandat dari rakyat agar mereka dilengkapi dengan kuasa moral dalam menjalankan amanah ini.

 

Pilihanraya presiden khusus untuk kaum minoriti

Perkara seterusnya, saya ingin sentuh adalah mengenai saranan diadakan pilihanraya presiden khusus bagi masyarakat minoriti agar berpeluang memegang jawatan presiden.

Puan,

Saya ada dua soalan untuk DPM Teo mengenai rancangan Pemerintah memperuntukkan pilihanraya presiden yang khusus hanya untuk calon-calon Melayu.

  • Mengapa sekarang setelah 25 tahun diperkenalkan skim Presiden Dipilih?

Bukankah waktu yang paling sesuai jika hendak memberi peluang kepada masyarakat Melayu untuk memegang jawatan presiden adalah pada pilihanraya presiden yang pertama, 1992, kerana selepas Armarhum Enk Yusof Ishak memegang jawatan presiden Singapura yang pertama, ketiga-tiga presiden setelah armarhum adalah dari bangsa selain Melayu. Ini berdasarkan mesej Presiden Dr Tony Tan yang disampaikan oleh Puan semalam, dimana beliau mengatakan bahawa bukanlah satu kebetulan, sememangnya diaturkan sedemikian rupa, 4 presiden Singapura yang terawal datang dari kaum-kaum yang berbeza. Kenyataan ini menguatkan lagi bahawa pilihanraya presiden pertama pada 1992 sepatutnya dikhususkan untuk masyarakat Melayu jika niatnya betul. MENGAPA TIDAK!

  • Dalam menjawab soalan media baru-baru ini, Perdana Menteri Lee menyatakan bilangan calon Melayu mencukupi untuk bertanding bagi jawatan presiden yang dipilih. Saya ingin bertanya berapakah jumlah individu Melayu yang layak untuk bertanding dan dari jumlah ini berapa dari sektor awam dan berapa dari sektor swasta.

Parti Pekerja berpendirian bahawa apabila jawatan presiden dikembalikan kepada jawatan yang dilantik, isu keprihatinan tentang kaum minoriti tidak berpeluang untuk memegang jawatan presiden boleh diatasi dengan diadakan sistem bergilir.

Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, saya ingin mengulas tentang kenyataan suruhanjaya perlembagaan yang menarik perhatian saya mengenai persepi dan kaum minoriti. Sebagai sebuah negara yang berbilang kaum, agama dan yang memegang teguh pada prinsip meritrokasi, setiap kaum terutama kaum minoriti harus merasakan mereka diberi peluang yang saksama dan sama-rata dan tidak mempunyai tanggapan yang sebaliknya dalam aspek-aspek kehidupan di Singapura.

Saya telah mengutarakan tentang isu kesaksamaan beberapa kali didewan ini. Saya telah menukil perasaan dan tanggapan masyarakat Melayu yang diluahkan menerusi laporan Suara Musyawarah tentang isu kesaksamaan dan meminta agar dapat diberi penghuraian terhadap perkara ini melalui penubuhan sebuah jawatankuasa namun cadangan saya tetap kekal sebagai sebuah cadangan.

Isu tentang diadakan dapur halal didalam kapal-kapal angkatan tentera laut republik Singapura yang saya bincangkan pada debat COS tahun ini telah mendapat banyak perhatian. Saya telah terima banyak mesej-mesej peribadi yang mengucapkan terima kasih dan menyuarakan sokongan kerana telah mengutarakan isu ini. Saya juga didatangi oleh beberapa individu-individu semasa berada ditempat-tempat awam untuk memberi pandangan dan ucapan terima kasih. Dalam isu untuk mengadakan pilihanraya presiden khusus bagi masyarakat Melayu walaupun secara amnya masyarakat Melayu menerimanya dengan hati yang terbuka, namun pada masa yang sama terdengar juga banyak kenyataan-kenyataan yang berunsur kesangsian dan kurang puas hati dikalangan masyarakat Melayu. Secara keseluruhannya, apa yang saya terangkan diatas menunjukkan masih ada lagi perasaan kesangsian tentang isu kesaksamaan yang terpendam dalam jiwa masyarakat Melayu-Islam Singapura.

Sekali lagi saya, ingin meminta sebuah jawatankuasa atau sebaiknya sebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi mendalami dan menyelidik bagaimana untuk meredakan luahan dan rintihan masyarakat Melayu yang masih kedengaran tentang isu kesaksamaan ini walaupun negara kita sudah 51 tahun mencapai kemerdekaan.

Akhirkata, kesimpulan bagi ucapan saya ini adalah, keprihatinan terhadap ketegangan-ketegangan yang boleh berpunca dari pergeseran diantara peranan ‘historical’ dan ‘custodial’ boleh ditangani dengan dikembalikan jawatan presiden kepada jawatan yang dilantik. Jika kita pandang semula kebelakang, keprihatinan seumpama ini tidak timbul sama sekali sepanjang waktu dimana jawatan presiden adalah jawatan yang dilantik.