Administration of Muslim Law (Amendment) Bill – Speech by Muhamad Faisal Abdul Manap

(Delivered in Parliament on 1 August 2017)

 

In Malay

Puan, Rang undang-undang Pindaan AMLA atau Akta Pentadbiran Hukum Islam yang dibentangkan ini adalah bertujuan untuk,

  • memperteguh institusi-institusi Muslim;
  • mempertingkat pengurusan aset-aset Muslim;

(iii) dan memperkukuh keluarga-keluarga Muslim

dengan memperhalusi serta memperbaiki proses-proses dan undang-undang yang sedia ada supaya ia sesuai dengan perubahan keadaan dan lebih terkini. Saya percaya bahawa perubahan yang dilakukan ini ialah untuk mendatangkan lebih manfaat dan mencapai kebaikan bagi masyarakat Islam Singapura. Saya menyokong hasrat ini dengan sepenuh hati.

Puan, saya ingin menyentuh tentang beberapa perkara yang terdapat di dalam rang undang-undang pindaan ini. Saya ada beberapa pertanyaan yang perlukan penjelasan dan saya juga akan ketengahkan beberapa cadangan.

Yang pertama, saya ingin menyentuh tentang klausa 23 yang memperkenalkan seksyen 94A iaitu memerlukan pasangan yang tergolong dalam satu klasifikasi yang tertentu untuk wajib menghadiri and menjalani hingga selesai, kursus atau program persiapan rumahtangga sebelum pasangan dibolehkan membuat permohonan untuk Kadi atau Naib Kadi bagi pernikahan mereka. Saya fahami golongan yang dimaksudkan adalah pasangan yang dibawah umur 21 tahun. Ini adalah satu langkah yang baik dan dialu-alukan agar pasangan-pasangan muda lebih terdidik tentang perihal rumahtangga agar mempunyai persiapan spiritual, mental dan psikologi yang mantap sebelum mereka mengharungi alam rumahtangga.

Saya ingin mencadangkan agar kewajiban ini bukan hanya dikenakkan kepada golongan pasangan muda yang dibawah umur 21 tahun sahaja malah kursus atau program persiapan rumahtangga perlu dijalani oleh setiap pasangan yang ingin mendirikan mahligai rumahtangga yang mantap.

Puan, saya pernah berkhidmat sebagai pembimbing kursus rumahtangga selama 2 tahun dan juga menjalankan kaunseling bagi kes-kes rujukan mahkamah syariah selama 4 tahun. Dalam jangka masa itu, saya telah berpeluang berinteraksi dengan ramai pasangan yang menghadiri kursus rumahtangga serta pasangan suami-isteri yang menghadapi cabaran perkahwinan. Dari pengalaman yang diraih, saya percaya kursus persiapan rumahtangga adalah perlu. Saya percaya karyawan-karyawan serta para asatizah yang terlibat dalam kedua-dua usaha ini akan bersetuju sebulat suara dengan pandangan saya.

Adalah penting bagi setiap individu yang ingin mendirikan rumahtangga dilengkapi dengan ilmu yang dapat membantu mereka berusaha dalam membina sebuah rumahtangga yang harmonis dan teguh. Kita semua mengetahui bahawa bagi pasangan muslim, mendirikan rumahtangga adalah satu ibadah dan diumpamakan seperti mendirikan sebuah masjid.

Jika kita ingin mendirikan ibadah solat, kita harus mengetahui rukun, syarat dan juga perkara-perkara yang boleh membatal dan merosakkan solat. Seterusnya kita juga harus menimba ilmu bagaimana untuk memperhalusi dan meningkatkan kekhusyukan solat. Begitu juga dengan ibadah rumahtangga, setiap pasangan harus menimba ilmu untuk memastikan ibadah rumahtangga mereka kukuh, dan mantap. Kita harus mengakui bahawa hakikatnya rumahtangga adalah satu ibadah dan pasangang-pasangan muslim harus dilengkapi dengan ilmu-ilmu untuk mengerjakan ibadah ini.

Sehubungan dengan kursus rumahtangga, saya ingin mengesyorkan agar intipati atau kandungan kursus rumahtangga memberi lebih tekanan kepada aspek-aspek keagamaan dan kerohanian kerana seperti yang saya katakan awal tadi, hakikatnya rumahtangga adalah satu ibadah. Semasa pertama kali saya diberi tugas sebagai pendidik kursus rumahtangga program ‘Bersama Mu’ keluaran MCYS atau Kementerian Masyarakat, Belia dan Sukan, pada tahun 2006, saya telah menghadiri sebuah sesi diskusi atau musyawarah tentang program ‘Bersama Mu’ sebelum ia dilancarkan secara rasmi. Pada sesi itu, antara maklum balas dari bakal pendidik yang terdiri dari karyawan-karyawan dan para asatizah ialah tidak ada atau kurang nilai-nilai keagamaan dan spiritual yang diterapkan dalam silabus kursus. Namun, setelah sesi perbincangan itu silabus telah diperbaiki dengan mengambil kira padangan-pandangan yang diterima.

Puan, bagi kursus rumahtangga yang terkini iaitu ‘Cinta Abadi’, maklum balas yang saya terima mengenai kandungan kursus adalah, ia tidak mengandungi atau ketandusan nilai-nilai keagamaan dan spiritual. Saya ingin bertanyakan kepada Menteri, adakah ini benar? Jika benar, harap menteri dapat memberi penjelasan mengapa sedemikian?

Perkara seterusnya yang saya ingin sentuh adalah mengenai peningkatan atau memberi kuasa yang lebih kepada Majlis atau MUIS dalam pentadbiran dan pengurusan institusi-institusi dan aset-aset Muslim. Seperti yang saya ucapkan awal tadi, saya akui bahawa perubahan situasi dan keadaan, kadang-kalanya memerlukan peningkatan dalam kuasa pentabiran.

Puan, Berikut adalah beberapa pembaharuan yang dilampirkan dalam rang undang-undang pindaan ini yang berkaitan dengan peningkatkan kuasa Majlis dalam pentadbiran dan pengurusan asset-aset dan institusi-institusi Muslim.

Klausa 16 membawa pindaan kepada skesyen 58 iaitu memberi kuasa tambahan kepada Majlis dalam mentadbir segala jenis wakaf atau nazar am.

Klausa 17, mengemukakan beberapa seksyen baru, 61(3), (4), (5) dan (6). Seksyen-seksyen yang diperkenalkan ini menyentuh tentang kuasa tambahan yang diberikan kepada Majlis dalam isu pengawalan dan pentadbiran kewangan bagi wakaf dan nazar am.

Klausa 18, membawa pindaan kepada seksyen 74 dengan mempertingkatkan lagi kuasa kepada Majlis dalam pentadbiran setiap masjid di Singapura. Klausa 18(a), menggantikan seksyen 74(3) dengan seksyen baru 74(3A) dan (3B) yang diantaranya memberi kuasa tambahan kepada Majlis untuk melucutkan jawatan dan melantik mutawali bagi mengambil alih atau sebagai tambahan kepada, pemegang amanah atau ‘trustee’ sesebuah masjid di bawah instrumen yang tertulis.

Puan, saya ingin menyentuh dan memberi cadangan berkenaan klausa 16(c) yang memperkenalkan seksyen 58(7) iaitu membenarkan agar mahkamah tidak boleh mencampur tangan atau menjalankan sebarang prosiding berkenaan dengan perlantikkan dan penglucutan, (a) pemegang amanah ‘trustee’ wakaf atau nazar am yang dilantik menerusi instrumen undang-undang dan (b) seorang mutawali yang dilantik oleh Majlis. Seperti yang tertera didalam rang undang-undang pindaan ini, seksyen 58(7) diperkenalkan berkaitan dengan sebuah kes Mahkamah tinggi iaitu Mohamed Shariff Valibhoy dan yang lain melawan Arif Valibhoy (2016).

Diantara sebab-sebab yang diberi bagi meyokong pengenalan seksyen 58(7) ini adalah;

“Parliament could not have intended for the trustees of a wakaf to have recourse to the court upon the enactment of the Administration of Muslim Law Act, because (i) concurrent jurisdiction over the trustee by the Majlis and the court may lead to inconsistent decisions being issued by the Majlis and the court on the same issue, and different standards and different laws being applied by the Majlis and the court”, (ii) the Administration of Muslim Law Act vested title to wakaf property and administrative control over a wakaf solely in the Majlis; and

(iii) section 63 limits the jurisdiction of the court to issues that are directed to the court by the Majlis”.

Saya memahami akan maksud bagi perubahan yang ingin dilakukan. Namun, saya berpandangan adalah lebih baik agar saluran pengadilan masih dibolehkan, agar pihak-pihak yang ingin mengemukakan tuntutan mereka ke meja pengadilan dapat melakukan sedemikian. Bagaimanapun, saya ingin cadangkan agar prosiding-prosiding berkenaan wakaf dan nazar dirujukkan dan diadili di mahkamah syariah dan bukan mahkamah sivil. Dengan merujukkan ke mahkamah syariah, ianya akan dapat menangani isu tentang berlainan bidang kuasa dan nilai-nilai antara majlis dan mahkamah sivil yang mungkin bercanggah. Saya berpendapat bidang kuasa mahkamah syariah harus diperluaskan agar merangkumi prosiding-prosiding berkenaan isu wakaf dan nazar am.    Puan,

Dalam rang undang-undang pindaan ini, sebahagian besar merangkumi penambahan kuasa kepada Majlis, seperti klausa-klausa telah disebutkan. Ianya bertujuan untuk memperteguh institusi-institusi dan mempertingkat pengurusan aset-aset Muslim. Saya sekali lagi ingin mengatakan bahawa saya menyokong hasrat yang sedemikian. Namun saya ada rasa sedikit kurang selesa dengan usaha-usaha untuk memberi Majlis sebagai, sebuah entiti pentadbir, kuasa yang berlebihan atau kuasa penuh dalam pentadbiran aset-aset dan institusi-institusi muslim.

Saya ingin mendapatkan penjelasan dari menteri agar saya dapat menghilangkan rasa kurang selesa saya ini. Bolehkah menteri menjelaskan jika ada dikalangan pihak yang ditadbir merasa kurang puas hati dan ingin mempertikaikan keputusan yang diambil oleh Majlis dalam sesuatu perkara, apakah saluran-saluran yang disediakan ada untuk melakukan sedemikian. Contoh, jika ada seorang pemegang amanah (trustee) atau mutawali yang dilucutkan jawatannya oleh Majlis namun dia merasakan tindakan Majlis keterlaluan dan tidak adil, apakah yang boleh dilakukan oleh individu ini.

Puan, Kuasa adalah merupakan suatu amanah kepada pihak-pihak yang diberi tanggungjawab agar dapat menjalankan tugasan dengan lebih terkawal, produktif dan efektif. Pada masa yang sama, harus juga diakui bahawa kuasa boleh disalah gunakan oleh mana-mana pihak samada yang mentadbir atau yang ditadbir kerana sebab-sebab yang tertentu. Ia merupakan seperti pedang bermata dua.  Untuk melahirkan sebuah masyarakat yang cemerlang, berwibawa dan dihormati, faktor keadilan adalah salah sebuah tunggak atau teras utama. Undang-undang yang diadakan adalah untuk demi mencapai kebaikan bagi semua dan bukan hanya kepada sesetengah pihak.  Saya ingin berkongsi tentang kisah Khalifah Islam iaitu Syaidina Ali dalam beliau mendokong dan yang lebih penting, mengamalkan nilai keadilan sebagai seorang ketua dan pentadbir. Semasa beliau menjalankan tugasnya sebagai seorang khalifah, telah berlaku kejadian di mana beliau mendapati baju besi atau ‘armour’ kepunyaan beliau yang hilang, ada bersama dengan seorang rakyatnya yang berbangsa Yahudi. Beliau amat yakin bahawa baju besi itu miliknya. Walaupun beliau adalah seorang pemimpin pada masa itu, beliau tidak menggunakan kedudukan beliau untuk memaksa dipulangkan baju besinya. Malah beliau telah menggunakan institusi penghakiman untuk mengadili perkara ini. Di pendekkan cerita, keputusan hakim berpihak kepada rakyat yang berbangsa Yahudi itu dengan alasan, Syaidina Ali tidak dapat memberi bukti-bukti yang kuat bahawa baju besi itu adalah miliknya. Individu Yahudi itu amat tertarik dengan sifat keadilan yang dipamerkan oleh Syaidina Ali sehingga ia menyebabkan individu Yahudi itu mengakui bahawa baju besi itu bukanlah miliknya tetapi dia telah menjumpainya. Individu Yahudi itu memulangkan baju besi kepada Syaidina Ali namun ditolaknya kerana beliau mengatakan keadilan telah mengesah dan membuktikan bahawa beliau bukanlah pemilik baju besi itu dan beliau harus menghormati keputusan yang telah dibuat oleh hakim. Perkara ini telah menyebabkan individu Yahudi itu tertarik dengan nilai-nilai keadilan seorang pemimpin Islam.

Puan, Sebelum meletakkan titik nota bagi ucapan saya, ingin saya kongsikan sebuah pantun untuk kita renungkan bersama.

Pulau Temasek aman sentosa
Nama ditukar ke Singapura
Berlaku adil semasa didunia
Sesungguhnya kita akan berhadapan si Maha Pencipta

Terima kasih Puan.