Administration of Muslim Law Act (AMLA) — Speech by Faisal Manap

Tuan, ini adalah rang undang-undang pindaan AMLA yang kedua dalam masa 2 tahun kebelakangan ini. Ia menunjukkan usaha-usaha pembaharuan yang berterusan adalah perlu dalam kepesatan kehidupan dunia hari ini. Saya mengalu-alukan kerja kuat dan keras yang diusahakan bagi terus memperbaiki Akta Pentadbiran Undang-undang Islam Singapura (AMLA) demi untuk kebaikan dan kemajuan Masyarakat Islam Singapura.

Rang undang-undang pindaan ini berobjektif (i) untuk membolehkan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) memperbaiki usaha-usaha pentadbiran dan pengurusan fungsi dan tanggungjawab mereka dalam menyokong Masyarakat Islam, (ii) meningkatkan lagi mutu proses digitalisasi bagi Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah dan (iii) mempertingkatkan lagi peruntukkan penyelenggaraan Mahkamah Syariah bagi mencapai hasil yang lebih berkesan.

Parti Pekerja menyokong rang undang-undang pindaan ini.

Tuan, bagi objektif pertama, iaitu membolehkan MUIS memperbaiki usaha-usaha pentadbiran dan pengurusan fungsi dan tanggungjawab mereka dalam menyokong Masyarakat Islam, ia merangkumi beberapa aspek (i) Memperkasakan MUIS untuk menubuhkan wakaf, (ii) Pengiktirafan Badan-Badan Pensijilan Halal Asing (FHCB), (iii) memperluaskan keahlian jawatankuasa Fatwa serta pemberian lebih budi bicara/diskresi dalam mempertimbangkan permintaan sesebuah fatwa, (iv) memperkenalkan definasi atau takrifan untuk Sekolah Agama Islam and juga memberi kuasa pemeriksaan dan pemantauan kepada pegawai-pegawai MUIS dan, (v) penjelasan bagi sumbangan yang tidak mempunyai rekod (unaccounted contributions) kepada Dana Pembinaan Masjid dan Mendaki (MBMF) yang disalurkan kepada pembinaan masjid.

Sekali lagi, saya ulangi sokongan Parti Pekerja terhadap perubahan dan proses pembaikan dan naik-taraf yang akan dilakukan. Namun begitu saya mempunyai beberapa soalan untuk mendapatkan penjelasan dalam beberapa perkara yang diperkenalkan atau yang menjalani pindaan supaya Masyarakat Islam dapat memahami dengan lebih teliti kenapa perubahan-perubahan yang dicadangkan dalam rang undang-undang pindaan ini diperlukan dan juga kebaikan dan manfaat yang ia bawa.

Tuan, pengenalan seksyen 88A adalah untuk menubuhkan sebuah rangka kerja bagi Pengiktirafan Badan-badan Pensijilan Halal Asing (FHCB). Soalan saya kepada Menteri mengenai perkara ini adalah (i) sama ada, Menteri boleh memberi sedikit gambaran tentang proses pengiktirafan yang sedia ada, seperti apakah antara kelemahan-kelemahan yang ada, dan juga apakah sebab-sebab utama yang mencetuskan pihak MUIS untuk mengambil langkah-langkah pembaharuan ini. Memandang kehadapan, boleh kah Menteri berkongsi secara am mengenai rangka kerja yang akan diadakan dalam memperkukuhkan lagi rangka kerja yang sedia ada.

Tuan, Seksyen 86A yang juga baru diperkenalkan dalam rang undang-undang pindaan ini adalah untuk memberi definasi atau takrif “Muslim Religious School” atau “Sekolah Agama Islam”. Antara yang boleh dimaksudkan sebagai “Sekolah Agama Islam” adalah situasi apabila orang-perseorangan atau sesuatu badan secara lazimnya menyedia pengajaran tentang agama Islam kepada 10 individu atau lebih secara fisikal di Singapura and, kedua, sesebuah tempat di mana ada 10 atau lebih individu hadir secara fisikal di Singapura yang memberi pengajaran agama Islam secara lazim. Saya fahami bahawa undang-undang ini diadakan untuk memperketatkan kawalan keatasan pengajaran agama Islam dan juga memberi kuasa kepada pihak MUIS untuk membuat pemeriksaan dan pemantaun dan juga mengambil tindakan tertentu. Ini semua bertujuan sebagai langkah-langkah untuk menghindarkan sebarang usaha-usaha penyebaran ajaran sesat.

Soalan saya mengenai perkara ini adalah, kenapa angka jumlah 10 dipilih, adakah ada sebab-sebab tertentu?

Dan juga mungkin berguna bagi Menteri menjelaskan bahawa jumlah 10 individu ini juga merangkumi kiraan secara kumulatif dan bukannya hanya kelas yang dihadiri oleh 10 individu pada satu masa. Saya rasakan penjelasan ini penting kerana sudah tentu seorang individu yang ingin menyebarkan ajaran yang menyimpang boleh sahaja memecahkan sesi mereka kepada 9 individu pada satu masa.

Saya juga ingin mendapatkan penjelasan mengenai situasi-situasi berikut, sama ada ianya tertakluk kepada definasi “Sekolah Agama Islam”.

Pertama, adakah kelas mengaji Al-Quran yang dikendali oleh seseorang individu bagi kanak-kanak ataupun dewasa dikejiranan perumahan HDB yang dihadiri oleh 10 individu atau lebih boleh dikategorikan sebagai “Sekolah Agama Islam” jikalau ia diadakan secara lazim, contohnya, mingguan.

Kedua, bagaimana pula majlis zikir dan juga maulid yang sering diadakan di sebuah rumah yang dihadiri oleh 10 atau lebih individu. Adakah sedemikian juga jatuh di bawah kategori ini.

Seterusnya Tuan, saya ingin menyentuh mengenai perluasan keahlian Jawatankuasa Fatwa serta pemberian lebih diskresi/budi bicara kepada Jawatankuasa tersebut dalam mempertimbangkan permintaan untuk mengeluarkan sesuatu Fatwa. Tuan, saya amat mengalu-alukan perluasan keahlian Jawatankuasa Fatwa. Saya ingin mendapatkan pencerahan dari Menteri tentang bagaimana proses pengisian jawatan baru ini akan dijalankan. Contoh, adakah pemilihan keahlian Jawatankuasa ini memerlukan seseorang membuat permohonan atau ianya hanya dilakukan melalui proses pemilihan dan pencalonan oleh pihak MUIS sahaja.

Juga, bolehkah Menteri terangkan, apakah keterbatasan pada undang-undang yang sedia sehingga memerlukan perubahan pada seksyen 32, iaitu menukar subseksyen (3) dengan subseksyen baru (3A).

Tuan, saya harap dengan perluasan Jawatankuasa Fatwa, ianya akan mencerminkan perkembangan dan perluasan dalam fikiran yang hadir di kalangan umat Islam di Singapura.  

Tuan, perkara terakhir yang ingin saya dapatkan penjelasan adalah berkenaan klausa 19 yang membuat pindaan pada seksyen 78, iaitu membolehkan sumbangan yang tidak dikenali penyumbangnya dianggap bertujuan untuk disalurkan untuk pembangunan masjid.

Soalan-soalan saya adalah berikut, (i) berapakah anggaran jumlah setahun yang disalurkan, (ii) sudah berapa lama perkara seperti ini berlaku dan kenapa perubahan atau pindaan ini tidak dilakukan dengan lebih awal lagi?

Tuan, sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin menyuarakan juga sokongan saya terhadap perubahan-perubahan yang dicadangkan melalui pindaan ini bagi Mahkamah Syariah dan Pejabat Pernikahan Orang Islam (ROMM) melalui beberapa klausa dalam usaha memperluas serta memperbaiki operasi dan juga kuasa kepada kedua-dua institusi ini. Menaikkan taraf operasi dan perluasan kuasa amat diperlukan agar kedua-dua badan ini dapat memberi perkhidmatan yang efektif secara efisien sejajar dengan perkembangan masyarakat yang pesat. Dengan perluasan bidang kuasa dan naik taraf operasi, diharapkan kedua-dua institusi ini diberi sokongan sumber-sumber yang diperlukan terutama sumber tenaga manusia supaya boleh tercapai objektif-objektif yang ditetapkan dengan sebaik-baiknya.

Akhirkata, saya harap Menteri dapat memberi penjelasan kepada soalan-soalan yang telah saya ketengahkan. Tuan, Parti Pekerja menyokong rang undang-undang pindaan ini. Terima kasih.