Misuse of Drugs (Amendment) Bill – Speech by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 15 January 2019)

Tuan,

Rang Undang-Undang Pindaan Penyalahgunaan Dadah yang diusulkan ini bertujuan untuk memperkukuhkan lagi usaha-usaha pencegahan, pembasmian dan pemulihan agar usaha-usaha yang sedia ada dalam menangani gejala penyalahgunaan dadah ini akan lebih efektif secara keseluruhannya. Saya ingin memberi beberapa pandangan dan cadangan terhadap rang undang-undang pindaan ini.

Yang pertama, saya ingin menyentuh mengenai seksyen 11B(1) & (2) yang diperkenalkan menerusi klausa 3. Seksyen 11B(1) adalah untuk menghukum orang dewasa, iaitu individu yang berumur 21 tahun keatas, yang mendedahkan kanak-kanak kepada dadah terlarang, alat-alat atau bekas-bekas yang diguna untuk mengambil dadah terlarang. Sementara seksyen 11B(2) adalah untuk menghukum orang dewasa yang membenarkan kanak-kanak untuk menguna dadah terlarang dan orang dewasa yang tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghalang kanak-kanak daripada berbuat demikian. Pengenalan seksyen 11B(1) & (2) ini adalah kerana pihak biro telah mengalami situasi, semasa membuat operasi, dimana penagih-penagih meninggalkan dadah, alat-alat dan bekas-bekas yang digunakan untuk pengambilan dadah terdedah kepada kanak-kanak. Terdedahnya kanak-kanak kepada situasi sedemikian berkemungkinan berlakunya pengambilan dadah oleh kanak-kanak ini.

Sifat seorang dewasa yang tidak bertanggungjawab seperti yang disebut adalah sesuatu yang amat dikesali. Sebagai seorang dewasa, apatah lagi, seorang bapa atau ahli keluarga adalah berkewajipan dalam menerapkan nilai-nilai positif dalam diri seorang kanak-kanak. Malangnya individu-individu sedemikian bukan sahaja mengabaikan tanggungjawab malah perbuatan yang disebutkan awal tadi akan atau boleh menyebabkan kerosakan pada usia awal bagi kanak-kanak tersebut, seperti pepatah Melayu, ‘Harapkan Pagar, pagar makan padi’. Oleh itu pengenalan seksyen 11B(1) & (2) adalah amat wajar dan tepat sekali.

Tuan,

Saya ingin mencadangkan agar informasi tentang undang-undang yang akan diperkenalkan iaitu seksyen 11B (1) & (2), disebarkan kepada murid-murid sekolah menerusi risalah dan sesi penerangan oleh pihak CNB semasa lawatan ke sekolah-sekolah agar kanak-kanak ini mengetahui dan sedar jika mereka berada dalam situasi-situasi yang disebut dibawah seksyen 11B (1) & (2), dewasa yang melakukan kesalahan-kesalahan ini harus dilaporkan kepada pihak berkuasa kerana telah melakukan satu jenayah.

Klausa 13 & 14 membuat pindaan pada seksyen 31 & 31A, memberi kuasa kepada Direktor Biro untuk mengeluarkan perintah kepada sesetengah individu untuk melaporkan diri pada sesuatu masa untuk menjalani ujian air kencing (seksyen 31) dan rambut (seksyen 31A) agar dapat memastikan mereka tidak lagi menggunakan dadah terlarang.

Dalam isu ini, saya harap individu-individu yang diperintahkan untuk melaporkan diri diberi kelonggaran dalam memilih waktu untuk melaporkan diri agar ianya tidak menjejas waktu pekerjaan mereka. Saya pernah mendengar luahan beberapa individu, yang bekerja dengan bayaran gaji harian, bahawa mereka terpaksa kehilangan pendapatan sehari kerana perlu melaporkan diri untuk ujian. Segolongan besar individu-individu ini menghadapi kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan tetap dan mereka tidak ada pilihan selain melakukan sahaja apa juga pekerjaan yang ada. Bagi individu-individu ini kehilangan gaji sehari amat merugikan serta akan menjejas perbelanjaan asas keluarga.

Individu-individu ini selalunya berada  dalam keadaan situasi psiko-sosial yang kurang stabil. Mereka memerlukan situasi yang lebih menyokong dan yang memberi peluang dalam usaha mereka untuk memulakan kehidupan baru dengan menjadi seorang pencari nafkah yang bertanggungjawab. Namun Tuan, bagi individu-individu ini, mereka akan melihat situasi, dimana mereka  kehilangan mata-pencarian sehari kerana perlu melaporkan diri bagi menjalani ujian, sebagai satu halangan dan ia boleh menimbulkan perasaan dimana mereka merasakan pihak berkuasa sebagai penghambat dalam usaha mereka menjalankan tanggungjawab mereka untuk mencari nafkah keluarga. Walaupun perkara diatas boleh dianggap sebagai perkara kecil bagi sesetengah pihak, namun ianya tidak lah kecil bagi individu-individu yang terbabit. Bagi golongan ini, gangguan emosi sekecil mana pun boleh memberi tekanan yang berlebihan bagi mereka.

Beralih kepada pindaan yang dibuat pada seksyen 33.  Pindaan ini memisah dan membezakan laluan atau proses pemulihan bagi golongan pesalah kali pertama yang berisiko rendah dan pertengahan dengan golongan mereka yang berisiko tinggi untuk mengulangi kesalahan. Saya mengalu-alukan pindaan ini kerana saya percaya pendekatan baru ini membolehkan usaha-usaha yang lebih spesifik dan efektif bagi setiap golongan. Saya juga mengalu-alukan pengunaan lebih banyak lagi pendekatan-pendekatan psikologi dan psikoterapi dalam program pemulihan yang sedia ada. Saya ingin syorkan pendekatan-pendekatan psikologi dan psikoterapi ini digabungkan dengan nilai-nilai spiritual untuk memberi lebih kesan. Pengunaan pendekatan yang sesuai dan khusus bagi kedua golongan ini akan dapat melahirkan kesudahan yang lebih memuaskan. Contohnya, pendekatan yang digunakan bagi golongan pesalah kali pertama yang berisiko rendah dan pertengahan, perlu memberi penekanan tentang penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan dalam masa yang sama, menanamkan harapan dalam diri pesalah bahawa mereka masih boleh berusaha kearah mencapai masa depan yang baik.

Seksyen baru 34A memberi kuasa kepada Direktor Biro untuk mewajibkan ibu-bapa or penjaga kepada individu yang dibawah penyeliaan menghadiri sesi kaunseling. Saya setuju dengan pendekatan ini kerana proses perubahan bagi seorang individu perlu membabitkan kaum keluarga yang terdekat agar mereka memahami peranan mereka dalam membantu proses perubahan seseorang pesalah. Atas sebab yang sama, saya harap kewajipan ini juga boleh merangkumi pihak pasangan suami atau isteri kepada pesalah muda yang telah berumahtangga dan juga individu-individu yang sudah berkeluarga bersama seorang teman. Saya juga meminta agar kelonggaran dalam memilih waktu yang sesuai bagi menghadiri sesi kaunseling dapat diberikan kepada pesalah serta ahli-ahli keluarga mereka agar ianya tidak menjejas urusan pencarian nafkah.

Usaha dalam memerangi isu penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang terlarang adalah satu usaha yang berterusan dan memerlukan pembabitan segenap lapisan masyarakat, pemerintah, badan-badan bukan pemerintah (ngos), badan-badan kebajikan sukarelawan, orang awam dan pihak keluarga. Setiap dari kita boleh memainkan peranan dan menyumbang kepada usaha ini. Dalam masyarakat Melayu, kita amat bersyukur kerana mempunyai individu-individu dan badan-badan yang komited dan bergiat aktif dalam usaha-usaha menangani isu penyalahgunaan dadah ini. Seperti contoh, Armarhum Tuan Harun Ghani, seorang individu yang dihormati oleh masyarakat Melayu. Saya sendiri telah mendengar dari ramai bekas-bekas penagih yang memberi kata-kata pujian tentang usaha dan pengorbanan ikhlas Armarhum Tuan Harun Ghani dalam membantu mereka dan keluarga mereka semasa hayat beliau. Kini, walaupun Armarhum sudah tidak ada lagi namun usaha-usaha beliau masih diteruskan dalam bentuk Harun Ghani Education Fund (HGEF), sebuah dana bagi membantu anak-anak penagih, bekas penagih dan juga kaunselor yang bergiat aktif dalam membantu pesalah-pesalah. Inilah yang diumpamakan ‘Harimau Mati Tinggalkan Belang, Manusia mati tinggalkan nama’.

Hira Society pula adalah sebuah Badan Kebajikan Sukarelawan yang ditubuh dan diuruskan oleh Ustaz Razman Bin Saridin. Seperti yang pernah dikongsi oleh Ust Razman sendiri, beliau pada suatu masa yang lalu pernah terjebak dalam gejala dadah namum telah kembali ke pangkal jalan dan telah memulakan usaha murni ini untuk membantu mereka yang terjebak dalam kancah dadah untuk meluruskan semula perjalanan kehidupan mereka.

Dengan ini, saya sokong rang undang-undang pindaan ini. Terima kasih.