COS 2012 Debates: MOE – Edusave for full-time Madrasahs

by MP for Aljunied GRC, Muhamad Faisal Abdul Manap


Chairman Sir, In Malay

1. Dalam menjawab soalan parlimen agar Skim Edusave dilanjutkan kepada pelajar di sekolah privet baru-baru ini, Menteri Pendidikan mengatakan bahawa Skim ini hanya diperuntukkan kepada pelajar sepenuh masa yang menghadiri sekolah awam atau sekolah yang dibiayai oleh Kementerian Pendidikan. Beliau menjelaskan, adalah penting bagi kanak-kanak menghadiri sekolah nasional kerana ini akan dapat membina identiti nasional semangat kesatuan dan perpaduan sosial dalam setiap generasi.

2. Tuan, perbezaan utama antara sekolah nasional dan madrasah adalah, (i) Pertama, madrasah mempunyai kurikulum keagamaan selain dari sukatan pelajaran akademik yang sama dilaksanakan di sekolah awam. (ii) Keduanya, pelajar-pelajar madrasah hanya terdiri daripada pelajar-pelajar Muslim sahaja sementara sekolah awam merangkumi pelajar dari berbilang agama dan bangsa. Mungkin kedua-dua faktor ini menjadi keprihatinan Kementerian Pendidikan kerana faktor-faktor ini mungkin boleh menjejas pembinaan nilai-nilai yang disebut diatas yang ingin dipupuk ke dalam setiap pelajar Singapura.

3. Namun Tuan, saya yakin nilai-nilai ini tidak akan terjejas dan tetap akan diterapkan di institusi Madrasah sepenuh masa ini. Ini adalah kerana, kurikulum keagamaan yang diajarkan di madrasah banyak menekankan nilai-nilai kemasyarakatan dan perpaduan kerana prinsip asas Ilmu Islam ialah untuk membentuk insan yang mendatangkan rahmah kepada masyrakat am terutama masyarakat di negara yang didiami, tidak kira bangsa, bahasa dan agama. Ini terbukti dalam isu menangani fahaman-fahaman radikal yang telah dan sedang berlaku di Singapura. Para ulama dan asatizah, kebanyakan graduan madrasah sepenuh masa, telah tampil sebagai sukarelawan, dalam bentuk RRG atau Kumpulan Pemulihan Keagamaan, untuk memberi kaunseling kepada pihak-pihak yang mula terpengaruh atau berfahaman radikal demi untuk mempertahankan semangat kesatuan dan kesepaduan sosial di dalam negera ini.

4. Tuan, jika faktor komposisi pelajar pula yang menjadi persoalan kerana ada isu penyisihan sosial dari segi aspek agama, iaitu hanya golongan pelajar Muslim sahaja yang menuntut di Madrasah, penyisihan sosial juga berlaku dari aspek jantina di sekolah awam ‘all-girls’ atau ‘all-boys’. Walaupun aspeknya berlainan, namun pada dasarnya ada penyisihan sosial.

5. Tuan, saya ingin mengongsikan sebab-sebab utama kenapa ibu-bapa Muslim memilih untuk menghantar anak-anak mereka ke institusi madrasah. (i) Pertama, ibu-bapa Muslim inginkan anak-anak mereka menguasai bidang keagamaan serta inginkan anak mereka mempunyai peluang kerjaya dalam bidang ini. (ii) Kedua, ibu-bapa Muslim ingin menerapkan nilai-nilai keislaman, terutama sekali dari segi adab, terutamanya dalam pembentukan akhlak, pembangunan insan dan ihsan. Tuan, banyak telah diperkatakan tentang soal penutupan aurat, penggunaan Hijab bagi anak perempuan dan berseluar panjang bagi anak lelaki. Dalam lingkungan awal tahun 2000, sekumpulan ibu-bapa muslim telah menghantar anak perempuan mereka ke sekolah nasional dengan memakai hijab namun tidak dibenarkan oleh pihak kementerian atas sebab-sebab tertentu. Oleh itu, institusi madrasah adalah satu-satunya cara untuk Ibu-bapa Muslim mengamalkan kebebasan beragama seperti yang tertera di dalam perlembagaan Negara

6. Akhir sekali Tuan, pada tahun 2008, keenam-enam madrasah sepenuh masa di Singapura telah mengambil langkah inklusif dan menerima secara terbuka pelaksanaan Pendidikan Wajib (Compulsory Education) tanpa sebarang kata dua. Pada Belanjawan tahun ini, pemerintah ingin melahirkan masyarakat yang Inklusif. Atas faktor inklusif ini juga, saya memohon kepada pemerintah agar dapat memberi penilaian lebih mendalam dan mempertimbangkan semula skim Edusave bagi pelajar-pelajar Madrasah sepenuh masa, mentelah lagi mereka adalah rakyat jati Singapura. Terima kasih.