Speech by Faisal Manap

Tuan,

Saya menyokong rang undang-undang pindaan ini.  Dalam ucapan yang ringkas ini, saya ingin memberi pandangan, meminta penjelasan serta menyuarakan keprihatinan mengenai beberapa perkara yang terkandung dalam rang undang-undang pindaan ini.

Selain itu, saya akan menyentuh sedikit tentang Seksyen 139 AMLA, iaitu berkenaan Ajaran Sesat walaupun ianya tidak ada kaitan dengan rang undang-undang pindaan ini. Namun, memandangkan perkara ini adalah penting dan demi kebaikan masyarakat Islam Singapura, saya ketengahkan perkara ini dengan harapan agar satu perubahan dapat dilakukan pada seksyen ini pada masa mendatang.

Tuan,

Adalah lumrah, apabila berlaku situasi yang mencabar atau menekan, perubahan pada sesuatu norma diperlukan agar aktiviti-aktiviti kehidupan seharian dapat diteruskan. Kita dapat melihat semasa awal pandemik COVID-19, ramai bakal suami-isteri yang telah membuat rancangan untuk mengadakan upacara akad nikah dan majlis walimatul urus terjejas, disebabkan perlaksanaan undang-undang kawalan COVID-19, yang dilakukan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan masyarakat Singapura. Walaupun banyak rintangan yang dihadapi oleh ramai pasangan bakal suami isteri dalam masa 2 tahun kebelakangan ini namun mereka akur tentang perlunya kawalan-kawalan ketat dan dengan tabah dan kesabaran mereka menghadapi rintangan demi meneruskan membina mahligai mereka. Saya ingin mengucapkan syabas kepada pasangan-pasangan ini kerana berjaya mengharungi segala ujian dan tahniah diatas rumahtangga yang dibina. Saya doakan semoga rumahtangga yang dibina berkekalan hingga ke syurga.

Tuan,

Saya menyokong usaha yang untuk mendigitalisasikan proses Mahkamah Syariah.

Walaubagaimanapun, saya ingin menyuarakan keprihatinan terhadap impak negatif yang tidak diingini yang boleh berlaku.

Adalah sifat manusia, keringkasan dan kemudahan dalam menjalani sesuatu proses boleh mempengaruhi penilaian semasa membuat sesuatu keputusan. Keprihatinan saya adalah, kemudahan akses bagi proses Mahkamah Syariah menerusi digitalisasi boleh mempengaruhi penilaian pihak-pihak yang ingin bercerai.

Contohnya, berpandukan pengalaman saya dalam menjalankan sesi kaunseling kes-kes rujukan Mahkamah Syariah pada masa lalu, proses penceraian yang mengambil masa yang lebih sedikit, kadang-kala dapat memberi pihak suami-isteri yang ingin berpisah lebih ruang dan masa untuk membuat penilaian yang lebih mendalam sebelum membuat keputusan yang muktahir untuk berpisah. Ini adalah kerana, ada sesetengah pasangan suami-isteri yang membuat keputusan secara terburu-buru untuk berpisah tanpa berfikir dengan lebih lanjut kerana mereka amat tertekan kerana dibelenggu perasaan marah dan kecewa.

Dengan memudahkan proses Mahkamah Syariah melalui proses digitalisasi, iaitu kemudahan dengan hanya menekan butang (at a click of a button), faktor ‘kemudahan’ ini boleh melenyapkan ruang dan masa tambahan yang mungkin membolehkan pihak yang ingin bercerai membuat penilian yang lebih mendalam.

Namun demikian, saya akui mempermudahkan proses-proses mahkamah dengan saluran digital mendatangkan manfaat bagi kes-kes penceraian yang harus diselesaikan dengan secepat. Antaranya adalah kes penceraian talak tiga dan juga kes yang mempunyai unsur-unsur keganasan rumahtangga, dimana penceraian mungkin adalah jalan keluar yang sebaiknya.  

Atas keprihatinan yang saya telah nyatakan, saya berharap pihak Mahkamah Syariah dalam melaksanakan proses-proses digitalisasi, dapat membuat pemantaun yang sebaiknya supaya dapat mengelakkan atau mengurangkan kesan-kesan negatif yang boleh timbul dalam usaha-usaha pemerbaikan ini.

Tuan,

Keprihatinan tentang impak negatif yang tidak diingini dalam melaksanakan proses digitalisasi juga disuarakan melalui konsultasi awam yang diadakan oleh pihak MCCY pada bulan Ogos dan September 2021. Antara maklum-balas yang diterima adalah penggunaan digitalisasi dan ketidakadaan sesi lisan (oral hearings), boleh menyebabkan impak negatif pada proses keadilan. Dikatakan situasi sedemikian boleh menimbulkan perasaan kurang senang kerana pihak plaintif dan defendan tidak dapat menyaksikan proses yang diadakan atau tidak dapat memahami bagaimana mahkamah mencapai sesuatu keputusan. Mengenai keprihatinan ini, kementerian memberi jaminan bahawa Mahkamah Syariah dan Lembaga Rayuan MUIS hanya akan menjalankan proses melalui saluran digital jika kesemua pihak bersetuju. Pada masa yang sama, ditekankan juga bahawa saluran digital bukanlah untuk menggantikan cara-cara yang sedia ada. Saya yakin dengan apa yang diperkatakan oleh kementerian. Disini, saya cuma ingin mengulangi agar pihak Mahkamah Syariah, Lembaga Rayuan MUIS dan Pejabat Pernikahan melakukan pemantauan dan mengambil langkah-langkah yang sepatutnya, agar tidak akan timbul atau sekurang-kurangnya dapat memastikan kemungkinan berlakunya kesan negatif yang tidak diingini yang mungkin timbul dalam melaksanakan langkah-langkah digitalisasi ini hanya pada tahap serendah mungkin.

Tuan,

Saya juga ingin menyuarakan sokongan terhadap cadangan untuk membolehkan pendaftaran penceraian walaupun dalam keadaan dimana pihak yang mendaftar tidak mampu membayar yuran pendaftaran. Perkara ini tertera dalam klausa 8, 9 dan 10 rang undang-undang pindaan ini.

Saya sendiri telah didatangi oleh beberapa penduduk yang menghadapi kesukaran untuk membayar yuran pendaftaran dan meminta saya agar membuat rayuan ke Mahkamah Syariah untuk memansuhkan yuran pendaftaran. Selalunya yang permintaan sedemikian datang dari pihak isteri yang tidak mempunyai pendapatan kerana menjalankan tanggungjawab sebagai suri-rumah sepenuh masa. Pembaharuan ini dapat mengelakkan perasaan ‘Sudah Jatuh Di Timpa Tangga’ oleh pihak yang menghadapi isu kewangan.  

Tuan,

Seterusnya, klausa 11 memperkenalkan pindaan pada seksyen 50, iaitu membolehkan Hakam-hakam yang dilantik pada permulaan untuk membuat keputusan penceraian tanpa memerlukan perlantikkan Hakam-hakam yang baru.  Saya ingin meminta penjelasan, jika boleh disertakan dengan contoh, tentang cabaran-cabaran atau kekurangan-kurangan pada sistem Hakam yang sedia-ada yang menyebabkan Mahkamah Syariah mengambil langkah-langkah perubahan ini.

Tuan,

Klausa 18 membuat pindaan kepada syeksen 87(9) ialah untuk memperjelaskan bahawa Majlis (MUIS) boleh meminta pembayaran yuran dalam melaksanakan fungsi-fungsi yang berkaitan dengan Madrasah melalui undang-undang yang diadakan dibawah seksyen ini. Saya ingin meminta penerangan daripada kementerian untuk memberi beberapa contoh fungsi-fungsi MUIS yang memerlukan pembayaran yuran oleh pihak madrasah. Dalam perkara ini, saya harap jumlah yuran yang dikenakan, jika ada dan jika perlu, tidak memberatkan pihak madrasah. 

Perkara terakhir yang saya ingin sentuh adalah mengenai seksyen 139 iaitu mengenai isu Ajaran Sesat. Seperti yang dikatakan awal, saya ingin  membangkitkan perkara ini kerana ia adalah penting.

Tuan, dalam menjawab soalan parlimen saya pada bulan September 2021, iaitu samada perlu disemak semula serta dinaikkan jumlah saman yang sedia ada iaitu jumlah yang tidak melebihi $2,000 bagi pesalah berkaitan dengan ajaran sesat, Menteri menyatakan, Offences under AMLA are reviewed periodically to ensure they are consistent with broader legal policies and are effective in deterring offenders. Any attempt to apply legislation to religious matters must be carefully considered. In the case of deviant teachings, I previously shared that MUIS seeks to address these problems at the root, by adopting a multi-pronged approach of counselling individuals and inoculating the public against harmful ideologies’.

Saya setuju dengan pendekatan menangani masalah berkaitan ajaran sesat pada pucuk nya menerusi kaedah seperti khidmat kaunseling dan pendekatan pendidikan kepada masyarakat terhadap bahayanya ideologi-ideologi yang sedemikian. Bagaimanapun, saya berpendapat jika hukuman bagi pesalah diperberatkan lagi, ia berkemungkinan boleh menjadi satu faktor pencegahan dan sekaligus memperkuatkan lagi usaha-usaha pembanterasan dan pencegahan yang sedia ada. Saya harap cadangan ini dapat dipertimbangkan sekali lagi.

Dengan ini Tuan, saya akhiri ucapan dengan sekali lagi menyuarakan sokongan saya pada rang undang-undang pindaan ini.