On the President’s Address (in Malay) – Speech by Faisal Manap

Tuan, 

Pada ucapan Presiden Isnin lalu, Puan Halimah telah menyentuh beberapa perkara berkenaan dengan langkah-langkah kehadapan bagi terus berusaha untuk mencapai kebahagiaan, kemakmuran dan kemajuan bagi negara kita.

Antara yang menarik perhatian saya adalah mengenai aspek politik negara. Secara ringkas, politik yang baik adalah sesuatu yang wajib demi mempertingkatkan lagi kemajuan, keharmonian dan kestabilan Singapura. Politik yang sebaliknya akan mencetuskan polarisasi dan perpecahan. 

Ucapan saya pada debat ini adalah perkongsian perspektif saya mengenai apa itu politik yang baik. Apa yang akan saya bentangkan adalah untuk semua pihak yang mengambil bahagian dalam politik negara terutama anggota-anggota dewan ini, termasuk diri saya sendiri, adalah untuk kita semua melakukan introspeksi atau muhasabah diri. Dalam bahasa politik kontemporari, “Ownself Check Ownself”, dalam bentuk yang positif. Tidak ada gunanya untuk menunding jari terhadap mana-mana pihak, sedangkan empat jari lagi adalah kearah diri sendiri,

Tuan,

Apa itu Politik yang baik? Antara pendekatan-pendekatan yang dapat melahirkan politik yang baik atau sihat adalah, (i) mengadakan lapangan yang saksama (level playing field), (ii) mempratikkan nilai setuju untuk tidak bersetuju (agree to disagree) dan (iii) elakkan perilaku yang menimbulkan perasaan takut dikalangan masyarakat awam atau dalam bahasa inggeris “fear mongering” terutama semasa pilihanraya dalam usaha mendapatkan sokongan.

Lapangan Yang Saksama (Level Playing Field)

Tuan, mengadakan lapangan yang saksama adalah salah satu asas dalam membentuk sebuah masyarakat yang demokratik yakni sesuatu yang ingin kita kecapi seperti tertera dalam ikrar negara, ‘membina sebuah masyarakat yang demokratik’. 

Seperti yang diketahui awam, anggota-anggota parlimen bukan parti pemerintah perlu berkhidmat dengan lebih keras diperingkat akar umbi dalam usaha untuk memenuhi keperluan para penduduk kawasan undi kami. Ini atas sebab kami tidak mempunyai akses kepada sumber-sumber Persatuan Rakyat (People Association). Ini adalah kerana AP-AP bukan parti pemerintah yang dipilih untuk mewakili dan berkhidmat pada kawasan undi yang ditandingi semasa pilihanraya umum diketepikan daripada perlantikkan sebagai Penasihat Akar Umbi (Grassroot Adviser). 

Realitinya, bagi kawasan undi yang dimenangi oleh parti bukan pemerintah, calon parti pemerintah yang tewas akan menyandang jawatan Penasihat Akar Umbi ini. Ini berlainan pula bagi kawasan undi yang dimenangi oleh parti pemerintah, dimana calon parti pemerintah yang terpilih sekaligus dilantik menjadi Penasihat Akar Umbi. 

Tuan, realitinya, kami, anggota parlimen bukan parti pemerintah, yang tidak diberi jawatan Penasihat Akar Umbi, tidak dapat menggunakan tempat-tempat dibawah penyelenggaraan Persatuan Rakyat seperti kelab masyarakat dan pejabat-pejabat Jawatankuasa Penduduk (RC). Selain kegunaan tempat, dana-dana untuk kegunaan masyarakat dikawasan undi tersebut yang disediakan oleh Persatuan Rakyat juga tidak dapat disentuh. Begitu juga dengan sumber tenaga kerja. Tenaga kerja yang disediakan oleh pengurus dan pengarah kawasan undi sepenuh masa adalah tidak ternilai.

Ini adalah sesuatu yang sama sekali tidak seiring dengan ungkapan dalam ikrar negara kita iaitu membina satu masyarakat yang demokratik berdasarkan keadilan dan persamaan. Kenapa saya katakan demikian? 

Tuan, Penasihat Akar Umbi adalah satu jawatan yang diamanahkan dengan kuasa dan tanggungjawab untuk mengurus dana awam, yang terkumpul menerusi kutipan cukai negara (taxpayers money) bagi kegunaan dan memanfaatkan penduduk-penduduk di sesebuah kawasan undi. 

Sememangnya tidak bertepatan dengan nilai keadilan dan persamaan apabila calon parti pemerintah yang tewas dan ditolak semasa pilihanraya oleh para pengundi, dilantik dan diiktiraf oleh pemerintah untuk menjawat jawatan Penasihat Akar Umbi ini, sementara wakil rakyat parti bukan pemerintah yang dipilih para pengundi diketepikan.

Untuk gambaran yang lebih jelas mengenai situasi ini, saya akan memberi satu contoh.

Sehingga kini, selepas hampir 13 tahun, anggaran dua setengah penggal, saya berkhidmat sebagai Anggota Parlimen GRC Aljunied, masih kedengaran komen-komen dari para penduduk saya semasa kunjungan rumah ke rumah bahawa PAP lebih banyak menganjurkan acara-acara daripada Parti Pekerja. Namun apabila saya meminta penjelasan acara-acara yang bagaimana, dikatakan acara-acara yang dianjurkan di Kelab Masyarakat dan juga yang di anjurkan oleh Jawatankuasa Penduduk. Mereka berkata sedemikian kerana mereka melihat kehadiran pengerusi cawangan PAP, yang juga menjawat jawatan Penasihat Akar Umbi hadir di acara-acara ini sebagai tetamu terhormat atau penganjur acara. Malah, ada juga penduduk mengatakan anak-anak mereka mendapat anugerah Edusave dari parti PAP. 

Tidak dinafikan, dana-dana awam yang digunakan oleh badan-badan dibawah naungan Persatuan Rakyat adalah untuk memanfaatkan para penduduk di sesebuah kawasan undi. Bagaimanapun, tidak dapat dinafikan juga bahawa  sistem yang ada kini memberi kesan dan tanggapan bahawa acara-acara anjuran Persatuan Rakyat adalah acara-acara anjuran PAP.  

Tuan, saya pernah memberikan cadangan di dalam dewan ini agar jawatan Penasihat Akar Umbi diberikan kepada individu-individu yang tidak terbabit dengan mana-mana parti politik supaya membebaskan Persatuan Rakyat (PA) daripada elemen-elemen politik. Ini adalah salah satu daripada perkara yang terdapat dalam Manisfesto Parti Pekerja bagi Pilihanraya lalu – Memastikan Kebebasan institusi-institusi negara daripada unsur-unsur politik kepartian.

Saya mengetahui bahawa ada sedikit usaha perubahan yang diambil dalam perkara ini. Sebagai contoh, bagi GRC Sengkang, Penasihat Akar Umbi yang dilantik adalah bukan individu-individu yang menanggotai mana-mana parti politik. Namun, seperti yang dikongsikan dalam media sosial baru-baru ini, seorang pengerusi cawangan PAP Sengkang telah dijemput sebagai tetamu di acara penyampaian anugerah Edusave dan mengambil gambar bersama-sama para penerima anugerah dan Penasihat Akar Umbi.

Persoalannya, diatas kapasiti apakah individu ini menghadiri majlis gabugan Persatuan Rakyat dan Kementerian Pendidikan? Apakah mesej yang ingin disematkan? Dan kenapa pula bukan anggota parlimen yang terpilih dijemput? Atau sekurang-kurangnya kedua-dua mereka dijemput bersama untuk acara ini? Soalan yang lebih asas dan penting, dimanakah nilai-nilai keadilan dan persamaan? 

Tuan, walaupun kami, AP bukan pemerintah kekurangan sumber-sumber awam, namun kami masih berkhidmat dengan sepenuh hati, memeras tenaga, dalam menjalankan tanggungjawab yang telah di amanahkan oleh penduduk-penduduk kami. 

Ini bukan rungutan Tuan. Namun apa yang ingin saya ketengahkan adalah, adakah ini satu amalan yang betul dalam usaha kita membina satu masyarakat yang demokratik berdasarkan kepada keadilan dan persamaan seperti yang tertera di dalam Ikrar Negara. Renungkan lah!

Setuju untuk tidak bersetuju (Agree to Disagree)

Seterusnya saya ingin menyentuh tentang faktor ‘setuju untuk tidak bersetuju’. Sifat hormat-menghormati dalam perbezaan adalah amat penting dan asas dalam usaha mengekalkan dan mengukuhkan lagi perpaduan masyarakat. 

Perbezaan pandangan adalah fitrah dalam kehidupan bermasyarakat. Pendekatan yang harus diambil dalam mengurus dan mengimbangi perbezaan-perbezaan ini adalah dengan mengambil pendekatan ‘setuju untuk tidak bersetuju’. Kegagalan dalam mengambil langkah yang sedemikian, berkemungkinan mencetuskan perbalahan dan perpecahan.

Tuan, dalam debat pemansuhan seksyen 377A November lalu, telah terdapat perbezaan dikalangan AP-AP Parti Pekerja. Ada dikalangan kami yang menyokong pemasuhan dan ada pula yang tidak. 

Dalam perkara ini, AP-AP Parti Pekerja telah berbincang dan mendapati tidak ada titik-temu bagi perbezaan pandangan dalam isu ini, justeru mengambil langkah ‘setuju untuk tidak bersetuju’. Oleh sedemikian, keputusan telah diambil untuk memberi setiap AP Parti Pekerja kebebasan untuk memilih. Walaupun ada perbezaan dalam isu ini, namun kami semua bersetuju bahawa kita perlu mendakap nilai ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ (Unity in Diversity).

Pada perspektif saya, apa yang berlaku pada Parti Pekerja dalam hal ini adalah refleksi atau satu gambaran realiti, seiras dengan apa yang berlaku dalam masyarakat Singapura mengenai isu ini iaitu terbahaginya masyarakat kepada dua pihak, yang menyokong dan sebaliknya. Walaupun ada perbezaan pendapat dan pendirian, suasana perbezaan ini tidak sampai ketahap yang membawa perpecahan yang merugikan masyarakat kerana adanya sifat toleransi, saling hormati menghormati dan setuju untuk tidak bersetuju apabila berhadapan dengan situasi yang tidak ada titik-temu. Ini lah yang dikatakan ‘perpaduan dalam kepelbagaian’.

Tuan, ‘perpaduan dalam kepelbagaian’ adalah satu nilai yang harus menjadi pegangan kita sebagai sebuah masyarakat demokratik dalam kita mengharungi dan menjalani era kehidupan dimana perbezaan padangan dan pendirian menjadi semakin ketara. Berpegang teguh pada nilai ini akan membolehkan kita sebagai sebuah masyarakat yang demokratik  menangani ‘Cancel Culture’, satu amalan yang agak membimbangkan sebab ia boleh menjejas perpaduan dan membawa kepada perpecahan. 

“Fear Mongering”

Perkara yang terakhir adalah mengenai ‘Fear Mongering’. Usaha menakut-nakutkan para pengundi dalam berpolitik adalah tidak sihat kerana ia boleh menyebabkan polarisasi dan perpecahan. Contoh, pernah di suatu masa yang lalu, di takut-takutkan bahawa jika ada parti politik selain parti pemerintah yang dipilih dan mengendalikan majlis bandaran, akan timbul isu pengurusan yang tidak baik sehingga boleh bertimbun sampah-sarap hingga ke tingkat kedua rumah flat. Ada dikatakan juga bahawa harga jualan rumah di kawasan undi dibawah jagaan parti politik selain parti pemerintah akan terjejas dan merosot. 

Pada pilihnaraya 2015, ada pula usaha minit-minit terakhir semasa tempoh berkempen, penyebaran dakwaan yang tidak berasas kepada para penduduk kawasan undi Punggol East. Di katakan bahawa Parti Pekerja gagal menjelaskan kemana perginya dana sejumlah $22.5 juta yang telah dipindahkan dari Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol ke Majlis Bandaran Aljunied-Hougang-Punggol East. Ini adalah antara pendekatan-pendekatan politik yang tidak sihat, yang kurang matang yang wajib dihakis. 

Ringkasannya Tuan, dalam sebuah sistem demokratik yang sihat, keputusan para pengundi dalam memilih wakil rakyat sepatutnya dibuat berdasarkan pertimbangan mereka terhadap fakta-fakta yang diketengahkan oleh pihak-pihak yang bertanding semasa pilihanraya dan bukan atas perasaan takut yang timbul dari tuntutan-tuntutan yang tidak berasas. Amalan ‘fear mongering’ oleh mana-mana pihak adalah sesuatu yang tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan nilai demokrasi. 

Penutup 

Tuan, kesimpulannya jika kita ingin mengelakkan politik perpecahan dan polarisasi, kebimbangan yang dinyatakan oleh Puan Presiden, kita harus mengamalkan dan mengukuhkan aspek-aspek yang telah saya sebutkan iaitu,  lapangan yang saksama, setuju untuk tidak bersetuju dan pada masa yang sama dihakiskan pula amalan “fear mongering”. Jika dapat dilakukan sedemikian, ia juga akan dapat mempertingkatkan lagi tahap kepercayaan masyarakat terhadap sistem kepimpinan negara, satu lagi faktor penting yang disebutkan oleh Puan Presiden tempoh hari. Pada kesuluruhannya, ia akan dapat mengukuhkan pembinaan sebuah masyarakat yang demokratik yang berdasarkan keadilan dan persamaan seperti yang dilaungkan setiap kali kita membaca ikrar negara.

Tuan, saya ingin ulangi apa yang telah saya katakan di permulaan ucapan saya, iaitu perkongsian yang telah saya sampaikan dalam debat ini bukan lah untuk menunding jari kepada mana-mana pihak tertentu. Ia adalah satu ajakan kepada semua anggota-anggota dewan yang mulia ini, pemimpin-pemimpin yang terpilih, terutama sekali diri saya sendiri, untuk introspeksi, muhasabah diri kita, dan perbaiki apa yang perlu diperbaiki demi untuk mencapai kebahagian, kemajuan dan kemakmuran bagi Singapura. 

Sekali lagi, saya ingin ulangi, tidak ada gunanya kita menunding jari sementara empat jari lagi menunjuk kearah diri sendiri. Namun begitu Tuan, ada sebuah pepatah Melayu yang berbunyi ‘siapa yang makan cili, dia yang terasa pedas’. Bermuhasabah lah kita! Terima kasih Tuan.