On the Committee of Privileges report on Raeesah Khan’s untruths spoken in Parliament — speech by Faisal Manap

Perbahasan ini adalah untuk meluluskan usulan, secara ringkas, iaitu saranan jawatankuasa hak istimewa parlimen agar Raeesah Khan dikenakan denda sebanyak $35,000 dan juga merujukkan saya dan rakan sejawat saya Encik Pritam Singh kepada pihak pendakwa raya bagi siasatan lanjut.

Saya telah memberi keterangan kepada jawatankuasa hak istimewa pada 9 Disember tahun lalu dalam satu sesi yang mengambil masa hampir 6 jam. Dalam ucapan ini, saya tidak akan menyentuh dan mengulangi perkara yang telah saya bentangkan semasa sesi tersebut. Ini adalah kerana saya yakin pada akhir debat ini, usul ini akan diluluskan dan saya serta Encik Pritam Singh akan dirujukkan ke pihak pendakwa raya untuk siasatan lanjut. Saya akan memberi kerjasama yang sebaiknya pada siasatan yang akan dijalankan. Oleh yang demikian, adalah lebih wajar untuk saya memberi kenyataan lanjut pada waktu yang sesuai.

Apa yang akan saya ulaskan adalah, pertama, saya ingin sekali lagi menolak tuduhan bahawa saya dan kedua-duanya rakan saya, Enk Pritam Singh dan Puan Sylvia menasihatkan agar Raeesah Khan untuk terus berbohong. Ini adalah tidak benar dan direka semata-mata.

Seterusnya, saya ingin memberi jaminan kepada penduduk GRC Aljunied terutamanya penduduk kawasan Kaki Bukit dimana saya telah berkhidmat selama hampir sebelas tahun bahawa perkhidmatan saya kepada anda tidak akan terjejas. Sesi Berjumpa Penduduk, lawatan mingguan rumah ke rumah dan usaha-usaha lain akan diteruskan seperti biasa.

Bagi penduduk GRC Sengkang, saya ingin ulangi kenyataan saya pada 2 Disember lalu bahawa saya akan bekerja rapat dengan ketiga-tiga
AP GRC Sengkang, Puan He Ting Ru, Encik Jamus Lim dan Encik Louis Chua dalam memberi khidmat kepada anda terutamanya dalam perkara-perkara berkaitan dengan hal-ehwal masyarakat Melayu-Islam. Komitmen ini akan berterusan.

Sejak tersiarnya berita mengenai saranan jawatankuasa hak istimewa untuk merujuk saya dan Encik Pritam Singh ke pihak pendakwa raya untuk siasatan lanjut, ramai yang menyuarakan keprihatinan tentang sama ada perkara ini akan menjejas Parti Pekerja. Kebimbangan juga diluahkan tentang situasi saya dan Encik Pritam Singh. Selain keprihatinan dan kebimbangan, ramai yang meluahkan sokongan, kata-kata semangat dan rangsangan dan tidak kurang banyak juga memberi ucapan selamat dan memanjatkan doa. Terima kasih seikhlas hati diatas segala sokongan dan kami amat menghargainya.

Saya ingin mengulangi kenyataan Parti Pekerja bahawa sejak penubuhan kami pada tahun 1957, Parti Pekerja telah menghadapi dan mengharungi pelbagai situasi yang mencabar. Dalam menghadapi situasi terkini, kami yakin kami akan terus bertahan, tabah dan meneruskan misi kami untuk menyumbang kepada pembentukan sebuah masyarakat yang berdemokrasi. Inilah tekad dan komitmen kami

Sebagai penutup ucapan, saya ingin berkongsi serangkap pantun dengan semua yang telah meluahkan sokongan dan keprihatinan terhadap situasi ini.

Perajurit ke medan pertempuran
Semangat berjuang demi kebenaran
Lumrah perjuangan perlukan pengorbanan
Hasil pengorbanan terlahir perubahan