Fortitude Budget – Speech by Faisal Manap

Delivered in Parliament on 4 June 2020

Ini adalah belanjawan keempat yang telah dibentangkan di dewan ini dalam jangka masa beberapa bulan. Saya telah mengemukakan beberapa cadangan dan menyatakan keprihatinan dalam ucapan saya bagi perbahasan belanjawan sebelumnya dan saya akan menyuarakan beberapa cadangan lagi dan juga ingin meminta beberapa penjelasan pada ucapan kali ini.

Pertama, saya ingin menyentuh mengenai yuran sewa untuk flat sewa di bawah Skim Sewa Awam HDB. Saya ingin mengetahui sama ada terdapat peningkatan jumlah para penyewa flat yang gagal membayar bayaran sewa mereka dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
 
Salah satu objektif jangka panjang pihak HDB menyediakan flat sewa di bawah Skim Sewa Awan ini adalah untuk menyediakan kediaman jangka masa pendek bagi individu atau keluarga sementara mereka berusaha membina serta mengukuhkan kewangan mereka agar satu hari kemudian mereka akan membeli dan memiliki tempat kediaman kepunyaan sendiri yang tetap. Sebilangan besar penyewa di bawah skim ini adalah dari golongan warga Singapura yang berpendapatan isi rumah yang rendah. Dalam masa beberapa bulan kebelakangan ini, saya telah dihubungi oleh beberapa penduduk saya yang meminta pengecualian dalam pembayaran yuran sewa flat mereka dalam masa-masa yang mencabar ini. Saya ingin meminta pemerintah untuk mempertimbangkan permintaan ini. Sokongan dalam hal ini dapat meringankan lagi bebanan warga Singapura yang menghuni di flat sewa dibawah Skim Sewa Awam HDB. Bantuan sedmikian akan dapat sedikit sebanyak membantu mereka mengekalkan kedudukan kewangan yang sememangnya sudah lemah daripada terus menjadi rapuh. Ini terutama kepada mereka yang sedang berusaha memperkukuhkan kedudukan kewangan mereka untuk mendapatkan kediaman tetap yang di idamkan.

Perkara kedua masih berkaitan dengan memberi sokongan kepada warga-warga Singapura yang berpendapatan rendah. Pada masa kini, negara kita sedang menjalankan usaha-usaha yang diterajui oleh pemerintah dalam mendorong masyarakat kita menuju lebih ke arah digitalisasi untuk mencapai matlamat ‘Negara Bijak’. Saya yakin bahawa kita mahu setiap warga Singapura tanpa mengira latar belakang sosio-ekonomi mereka untuk bergerak bersama dan tidak ketinggalan dalam usaha digitalisasi ini.

Pandemik COVID-19 telah menekankan lagi, pentingnya  untuk setiap kediaman mempunyai sambungan internet bagi membolehkan pembelajaran dan bekerja dari rumah. Saya percaya ramai anggota dewan ini telah menemui para penduduk yang berpendapatan rendah yang meminta bantuan untuk membuat rayuan bagi pihak mereka tentang bil-bil langganan internet mereka yang tertunggak.

Dalam persiapan dan usaha negara kita untuk mencapai matlamat ‘Negara Bijak’, saya ingin pemerintah mempertimbangkan saranan saya untuk memperkenalkan skim rebat bagi membantu dalam pembayaran yuran langganan internet sebagai menyokong warga Singapura yang berpendapatan isi rumah yang rendah agar mereka dapat terus mempunyai sambungan internet yang lebih stabil dan tidak terganggu.

Pada zaman ini, saya rasa tidak salah untuk mengatakan bahawa sambungan internet adalah satu keperluan asas. Sekarang ini, terdapat skim rebat pemerintah untuk membantu meringankan yuran-yuran keperluan asas seperti rebat utiliti dan rebat yuran perkhidmatan dan penyelenggaran (s&cc). Cadangan saya adalah untuk menyertakan yuran langganan internet ke dalam senarai rebat yang sedia ada.

Tuan, saranan-saranan saya untuk memberi sokongan kepada warga-warga Singapura yang tergolong dalam pendapatan isi rumah yang rendah dengan memberi pengecualian pembayaran yuran sewa flat dan rebat bagi yuran langganan internet, adalah sesuai dan sejajar dengan objektif kempat-empat belanjawan negara kita iaitu menanamkan semangat bersatu-padu dan berdaya tahan supaya kita dapat menghadapi cabaran-cabaran yang timbul dari pandamik ini dengan solidariti dan kecekalan. Saya amat berharap kedua-dua cadangan saya ini diberi pertimbangan yang sebaiknya.

Perkara seterusnya adalah tentang ujian swab COVID-19. Dilaporkan bahawa kesemua guru dan kakitangan pusat prasekolah dan tadika harus menjalani ujian swab COVID-19. Seperti yang dijelaskan oleh Agensi Pembangunan Awal Kanak-kanak (ECDA) melalui laporan media bahawa ia adalah langkah berjaga-jaga sebagai persiapan pembukaan semula tadika dan pusat prasekolah.

Saya ingin mendapatkan penjelasan, mengapakah ujian swab COVID-19 ini idak dijalankan keatas guru-guru dan kakitangan sekolah rendah, menengah serta maktab rendah dan institut berpusat.

Tuan, yang terakhir, saya ingin meminta pencerahan mengenai proses mendapatkan persetujuan daripada Presiden mengenai penggunaan rizab negara (past reserves). Sehingga kini, tiga daripada empat belanjawan memerlukan penggunaan rizab negara.

Bagi penggunaan rizab, proses yang harus dilalui adalah pemerintah perlu memberi penjelasan terperinci yang disokong dengan informasi dan fakta kepada  Presiden. Presiden pula akan berunding dan membuat pertimbangan dengan bantuan serta nasihat dari Majlis Penasihat Presiden (CPA) sama ada untuk meluluskan permintaan pemerintah atau sebaliknya.

Skim Presidensi di-pilih diperkenalkan pada tahun 1991. Salah satu objektif utama skim ini adalah agar Presiden di-pilih, yang mendapat mandat dari rakyat melalui proses pilihraya, diberi peranan atau tanggungjawab sebagai pelindung bersama atau kunci kedua kepada rizab negara. Pendek kata, Presiden di-pilih mempunyai kuasa untuk mengatakan ‘Ya’ atau ‘Tidak’ jika pemerintah ingin menggunakan rizab negara.

Saya ingin mendapatkan pencerahan sama ada semasa proses mendapatkan persetujuan untuk menggunakan rizab negara,  adakah Presiden Puan Halimah Yaob diberikan maklumat mengenai baki atau jumlah yang kita ada dalam rizab negara. Maklumat kritikal seperti ini adalah teramat penting bagi Presiden dalam membuat penilian untuk mencapai sesuatu keputusan.

Secara am, adalah menjadi satu praktik atau kemestian dalam mana-mana entiti, sama ada entiti pemerintah, contoh seperti kementerian dan badan berkanun, atau entity swasta, dimana informasi kritikal tentang baki sesebuah akaun atau dana akan diberitahu kepada mana-mana pihak atau badan penentu (decision making body) dalam proses penilaian supaya dapat membuat sebuah keputusan yang tepat (informed decision) samada membenarkan atau tidak, sesuatu perbelanjaan atau penggunaan dana.

Saya harap DPM Heng dapat menjelaskan apakah Presiden telah diberi maklumat mengenai jumlah yang ada dalam rizab negara semasa pemerintah membentangkan informasi-informasi dan fakta-fakta bagi menyokong permintaan dalam mendapatkan persetujuan Presiden untuk menggunakan rizab negara bagi ketiga-tiga belanjawan, Solidariti, Daya Tahan dan Kecekalan.

Tuan,

Saya mengakhiri ucapan saya dengan menyatakan sokongan saya terhadap belanjawan ini. Terima kasih tuan.