Debate On The President’s Address At The Opening Of 14th Parliament – Speech by Faisal Manap

Delivered in Parliament 2 September 2020

Ucapan President Halimah Yacob disesi pembukaan Parlimen Singapura ke 14, menyentuh tentang penting and perlunya pemimpin-pemimpin politik dan masyarakat Singapura dari segenap lapisan bersatu-padu, meskipun masing-masing mempunyai prinsip dan falsafah yang berbeza-beza, bersama berusaha dan menyumbang kearah sebuah negara Singapura yang bahagia, makmur dan maju.

Dalam ucapan saya ini, saya ingin berkongsi buah fikiran saya mengenai memperkukuhkan Perpaduan dalam Kepelbagaian (Unity in Diversity).

Adalah semulajadi manusia diciptakan berbeza-beza atau dalam keadaan kepelbagaian. Ini adalah lumrah dan kita harus akur dan menerima fitrah ini. Samaada kepelbagaian ini memberi kesan baik atau sebaliknya, penentuan ini bergantung kepada cara kita menerima dan mengharunginya.

Pengalaman kehidupan saya terutama sebagai seorang kaunselor, membuat saya berpandangan positif terhadap kepelbagaian dan menerimanya sebagai satu rahmah dan hikmah. Ini adalah kerana kepelbagaian menawarkan pilihan dan ia juga dapat membantu dan memudahkan usaha untuk lengkap-melengkapi dalam sesuatu perkara.

Namun, kita harus akur bahawa sesetengah perbezaan yang mungkin timbul dari kepelbagaian, ada-kalanya janggal dan boleh menimbulkan cabaran. Dalam menangani perbezaan yang sedemikian, kita harus bersifat terbuka, toleransi, saling hormati-menghormati dan mengamalkan prinsip setuju bagi tidak bersetuju.

Adalah fitrah untuk kita mengamalkan nilai-nilai kepelbagaian dalam menjalani kehidupan. Manusia yang hidup bermasyarakat tidak boleh hidup secara bersendirian tanpa membabitkan diri dalam ekosistem yang ada, seperti pepatah Inggeris ‘No Man is an Island’.

Gabungan pelbagai ide dan usaha adalah wajib dalam mengharungi aspek-aspek kehidupan terutama dalam situasi global yang mencabar pada waktu kini dan mendatang. Pendek kata, kita memerlukan antara satu sama yang lain untuk saling lengkap-melengkapi.

Tuan, berbalik pada ucapan Puan presiden disesi pembukaan parlimen ke 14 dimana beliau menekankan bahawa keputusan pilihanraya umum baru ini, dimana sepuluh kerusi parlimen di menangi oleh Parti Pekerja sementara parti pemerintah mengalami kejatuhan peratusan undi nasional, menandakan keinginan para pengundi Singapura terhadap perlunya ada kepelbagaian pandangan dan fikiran dalam proses politik dan pembangunan negara.

Para pengundi Singapura mahukan satu landskap politik yang lebih membina dan konstruktif. Mereka inginkan sistem periksa dan pemantauan (check and balance) yang mantap dan padu, dan bukan sebuah sistem politik yang berpandukan cara ‘sendiri periksa diri sendiri’ (ownself check ownself).

Cara berpolitik secara ‘Ownself Check Ownself’ adalah sesuatu yang kurang sihat. Kerana sebagai manusia, kita tertedah kepada fenoma ‘titik buta’ (blind spot) dan ‘pemikiran kumpulan’ (group thinking). Ini tidak boleh dinafikan.

Tuan, kita harus menerima kepelbagaian dalam politik adalah sesuatu yang amat perlu. Namun kita juga harus menerima kenyataan bahawa kepelbagaian juga boleh menimbulkan keresahan dan kemungkinan titik perpecahan. Ini adalah sesuatu yang mungkin tidak boleh dielak namun masih boleh ditangani atau dikurangi. 

Kepelbagaian tidak seharusnya menimbulkan impak yang negatif seperti perpecahan (divisive) dan diskriminasi. Tidak seharusnya ada perasaan atau pandangan oleh mana-mana pihak bahawa ideologi atau falsafah pegangan mereka adalah lebih ‘superior’ (baik) dari yang lain. Seperti yang dikata awal tadi, kepelbagian ini adalah untuk saling lengkap-melengkapi dan bagi perbezaan tidak dapat diselesaikan, kita haruslah bersedia untuk setuju bagi tidak bersetuju.

Usaha untuk menerap dan mengamalkan Perpaduan dalam Kepelbagaian dalam masyarakat kita, harus bermula daripada pucuk kepimpinan politik negara. Teladan yang dipamerkan oleh para pemimpin politik akan menjadi contoh dan ikutan bagi masyarakat awam.

Cara-cara para pemimpin menangani dan membincangkan isu-isu sensitif dan hangat, samaada didalam atau luar dewan, sedikit sebanyak akan membentuk dan mempengaruhi nada perbahasan dan perbincangan yang akan berlaku dikalangan masyarakat awam.

Tuan, pada Mei tahun ini, rakan saya Enk Leon Perera telah mencadang agar sesi parlimen dapat disiarkan secara langsung di saluran televisyen nasional supaya masyarakat awam dapat menghayati suasana sesi parlimen dan memahami prosedurnya dengan lebih baik.

Seorang jurucakap kepada Menteri Grace Fu dalam memberi respon melalui media tentang perkara ini, berkata “Live broadcasts of Parliament risk turning the House into a “form of theatre” and do not add to transparency”, seterusnya dikatakan lagi “An element of public performance is unavoidable because Singaporeans want to see their concerns expressed, and hear their questions asked and answered in Parliament.” Secara ringkas jawapan yang diberi adalah siaran langsung tidak memperbaiki aspek ketelusan (transparency) malah ia berisiko menukar sesi parlimen kepada panggung persembahan.

Disini saya ingin merakamkan bahawa saya setuju agar diadakan siaran langsung sesi parlimen kerana pandangan saya, mana-mana anggota yang hendak mempamerkan suatu persembahan teater diparlimen, mereka tetap akan melakukan lakonan mereka kerana mereka tahu walaupun tidak ada siaran langsung, namun ada rakaman yang dilakukan setiap saat, dari mula hingga akhir sesi parlimen. Pendek kata, ada atau tidak ada siaran langsung, ia bukan lah sebab untuk seseorang anggota untuk  tidak mempamerkan lakonan mereka  kerana mereka tahu lakonan mereka  masih boleh ditonton menerusi klip-klip rakaman melalui saluran media sosial.

Tuan, berpandukan respon yang diberi yang telah saya kongsikan, ia seolah-olah mengatakan ada kebimbangan bahawa boleh berlaku situasi dimana anggota dewan ini akan bersifat kurang sesuai semasa perbahasan di parlimen sehingga boleh kelihatan sesi parlimen seumpama persembahan teater.

Ini sesuatu yang sememangnya tidak seharusnya   berlaku. Anggota dewan ini harus sedar bahawa sifat-sifat sedemikian yang mereka tonjolkan, samada melalui perbuataan atau lisan, boleh memberi kesan kepada masyarakat awam.

Tuan, salah satu sifat atau pendekatan yang kurang sesuai adalah serangan peribadi. Hindarilah daripada melakukan serangan peribadi terhadap sesama anggota dewan.

Dewan ini adalah untuk membincangkan hal-ehwal yang dapat memberi kesan yang baik kepada kesejahteraan masyarakat dan negara. Ianya bukan gelanggang untuk melancarkan serangan peribadi terhadap mana-mana pihak. Perbahasan yang berbaur serangan peribadi tidak sesuai dilakukan dalam dewan ini kerana ia akan mencemarkan integriti dan status dewan ini sebagai sebuah institusi perundangan. Gambaran seorang pemimpin yang membuat serangan peribadi terhadap pemimpin yang lain mempamerkan satu teladan yang kurang sihat kepada golongan yang dipimpin.

Tuan, perbincangan yang mantap (robust) adalah perlu agar isu yang di bincangkan dapat dikupas dengan lebih mendalam dan sebaik mungkin. Namun perbincangan mantap harus lah berlandaskan tata-tertib agar tidak terhakis nilai perpaduan.   

Sebagai pemimpin-pemimpin yang dipilih, adalah sebaiknya kita lebih berwaspada dalam cara kita berdebat kerana ianya akan menjadi teladan dan contoh kepada masyarakat awam kerana teladan-teladan yang negatif boleh mencetuskan rasa kurang senang dan keresahan justeru berkemungkinan membawa kepada polarisasi dan perpecahan di kalangan masyarakat.

Tuan, seperkara lagi yang dapat menjejas Perpaduan dalam Kepelbagaian adalah isu keadilan. Sifat keadilan adalah teras dalam mencapai perpaduan terutama dalam kehidupan bermasyarakat yang berbilang kaum, agama dan budaya. Kemahuan terhadap sesuatu keadilan adalah sifat fitrah manusia dan apabila berlakunya sesuatu ketidakadilan, akan timbul perasaan kurang senang.

Kebelakangan ini, ramai yang meluahkan rasa ketidakpuasan hati terutamanya di media sosial, mengenai jawatan Penasihat Akar Umbi (Grassroot Adviser) Persatuan Rakyat di kawasanundi dibawah jagaan parti alternatif, diberikan kepada calon Parti pemerintah yang tewas dalam pilihanraya umum. Calon PAP ini juga pada masa yang sama, memegang jawatan Pengerusi Cawangan PAP bagi kawasan undi yang sama. Perbuatan ini dianggap sebagai satu ketidakadilan.

Persoalan mereka, mengapa anggota-anggota parlimen dipilih dari bukan parti pemerintah tidak diberi jawatan tersebut seperti mana yang dilakukan kepada AP-AP parti pemerintah? Mengapa ada pilih-kasih (double standard)?  

Telah dikatakan didewan ini berulang-kali bahawa Persatuan Rakyat adalah sebuah badan berkanun dan tidak bersifat politik, ianya berkecuali dan tidak cenderung terhadap mana-mana parti politik. Juga telah dikongsikan beberapa  sebab kenapa tidak dilantik seorang AP pembangkang  sebagai Penasihat Akar Umbi Persatuan Rakyat. Diantaranya adalah kerana peranan utama Penasihat Akar Umbi adalah untuk menyampai dan menerangkan dasar-dasar pemerintah. Dan AP-AP pembangkang tidak akan dapat melakukan peranan ini dengan sebaiknya dalam situasi dimana mereka tidak menyokong dasar-dasar ini.

Namun penerangan dan alasan yang diberi gagal meyakinkan segolongan besar para pemerhati politik dari kalangan masyarakat awam yang masih meluahkan pandangan bahawa Persatuan Rakyat digunakan sebagai platfom untuk memenuhi kepentingan politik parti pemerintah. Tuan, saya sendiri tidak dapat menerima bahawa Persatuan Rakyat bebas dari unsur politik kepartian.

Saya telah mencadangkan di dewan ini agar melantik para pegawai kanan sektor awam seperti Pegawai Ketua Eksekutif atau Direktor sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang telah bersara, yang tidak menganggotai mana-mana parti politik dilantik sebagai Penasihat Akar Umbi Persatuan Rakyat. Pengalaman berkhidmat di kementerian dan badan-badan berkanun adalah berharga dan amat sesuai untuk individu-individu yang sedemikian memegang jawatan ini.

Saya percaya pelantikan sebegini akan melenyapkan isu ketidakadilan, iaitu kecendurangan Persatuan Rakyat terhadap politik kepartian. Sekali lagi saya meminta agar cadangan saya ini diberi pertimbangan yang serius jika pemerintah sememangnya tulus dan jujur untuk memperkukuhkan lagi prinsip perpaduan dalam kepelbagaian.

Sekarang saya ingin menyentuh tentang isu berkenaan agama dan bangsa, yang dianggap sebagai taboo dan sensitif untuk diperbincangkan secara terbuka. Menurut sesetengah pemimpin perkara sedemikian hanya sesuai untuk di bincangkan di sebalik tabir.

Tuan, sudah beberapa kali kedengaran di dewan ini dari beberapa anggota dari kedua-dua pihak untuk diadakan perbincangan secara terbuka bagi topik berkaitan agama dan bangsa. Saya rasa sudah masanya perkara ini diberi perhatian yang seharusnya.

Menteri Shanmugam seperti yang dilaporkan oleh pihak media mengatakan bahawa Singapura harus mencari cara yang sesuai yang dapat diterima oleh generasi yang berbeza dalam membincangkan isu keagamaan dan bangsa.

Lebih terkini, Menteri Edwin Tong juga menyatakan ‘kurangkan konfrontasi, lebihkan mediasi apabila bercakap tentang isu-isu sensitif’. Saya setuju dengan kedua-dua menteri dalam hal ini.

Tuan, dalam masa dua bulan yang lalu, telah berlakunya dua insiden yang tidak disenangi berkaitan dengan isu amalan keagamaan.

Satu, di mana seorang lelaki sikh ditanya samaada beliau boleh menanggalkan sarbannya (turban) semasa satu temuduga melalui telefon kerana alasan yang diberi adalah, penampilannya boleh menimbulkan rasa kurang senang.

Insiden kedua, membabitkan seorang jurujual wanita muslim yang disuruh menanggalkan tudungnya kerana ianya dianggap tidak profesional.

Kejadian-kejadian diskriminasi sebegini amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku, memandangkan usaha-usaha telah dilakukan selama 55 tahun dalam membangunkan sebuah masyarakat yang berbilang kaum dan agama.

Kedua-dua kejadian yang baru berlaku ini menandakan harus ada pendekatan-pendekatan yang lebih terbuka dan lebih dinamik demi untuk memperkukuhkan lagi pemahaman, penerimaan dan toleransi dikalangan masyarakat Singapura supaya sifat-sifat diskriminasi, samaada secara sedar atau tidak, dapat dibendung dengan lebih baik lagi. Dan usaha yang sedemikian ini harus dimulakan ditahap kepimpinan.

Para pemimpin harus bersifat terbuka dan tidak berfikiran sempit apabila sesuatu usaha atau perbincangan tentang isu berkenaan amalan-amalan keagamaan dikemukakan. Hindarilah penggunaan perkataan-perkataan atau frasa-frasa yang boleh menimbulkan rasa kurang senang kepada masyarakat seperti ‘divisive’ dan ‘problematic’ dalam membicarakan isu-isu keagamaan. Ucapan-ucapan yang mengandungi perkataan dan frasa yang sedemikian tidak menguntungkan mana-mana pihak malah ia akan menimbulkan keresahan yang boleh menyebabkan keretakkan kepada perpaduan masyarakat.

Tuan, adalah lebih baik jika pendekatan yang bersifat rendah diri dan keterbukaan diambil apabila membincangkan tentang perkara-perkara yang dianggap sensitif seperti agama dan bangsa. Sifat-sifat ini akan membolehkan perbincangan dijalankan dengan secara rasional dan konstruktif agar pada akhirnya dapat melahirkan persetujuan dan cara penyelesaian yang baik bagi masyarakat. Jika belum ketemu cara penyelesaian yang boleh di persetujui, sekurang-kurangnya perbincangan boleh berakhir dalam situasi ‘setuju untuk tidak bersetuju’ (agree to disagree) dan saling hormat-menghormati. Ini adalah sebaiknya demi untuk mengekalkan Perpaduan dalam Kepelbagaian.

Tuan, sebagai penutup, hujah-hujah saya di atas mengajak kita semua, anggota-anggota dewan ini terutama diri saya sendiri, sebagai para pemimpin, untuk melakukan muhasabah diri (Soul Searchin) kerana apa juga nilai, sifat dan kelakuan yang ditonjolkan oleh para pemimpin akan memberi kesan kepada masyarakat awam. Sifat rendah diri, keterbukaan dan toleransi akan memperkukuhkan perpaduan sementara sifat-sifat negatif sebaliknya boleh menimbulkan titik keretakan. Ini kerana Pemimpin Adalah Teladan bagi masyarakat yang dipimpin.

Tuan, terakhir, saya ingin mengucapkan terima kasih seikhlas hati kepada para pengundi GRC Aljunied kerana telah sekali lagi memilih pasukan Parti Pekerja, untuk mewakili mereka di Parlimen.

Tuan, saya sokong usulan yang di bentangkan.