Soalan kepada Pemerintah: Penjelasan tentang Kenaikan Harga Air Sebanyak 30%

Oleh Pritam Singh, Anggota Parlimen GRC Aljunied

Berita kenaikan harga air sebanyak 30% yang diumumkan oleh pemerintah semasa pembentangan Belanjawan 2017 disambut dengan pelbagai reaksi oleh warga Singapura, ini termasuk kebingungan dan perletakan jawatan. Kita menyaksikan beberapa pengumuman mengenai kenaikan harga-harga bermula dari akhir Disember 2016, kenaikan yuran tempat meletak kereta di HDB, tarif elektrik dan yuran Perkhidmatan dan Penyelenggaraan (S&CC). Kenaikkan harga air yang ketara dalam tempoh dua tahun adalah sesuatu yang mengejutkan bagi ramai warga Singapura.

Dalam ulasannya kepada media selepas ucapan Belanjawan daripada Kementerian Kewangan, seorang anggota Parlimen PAP dinukil berkata, “Saya rasa kenaikan harga air hanyalah untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan air.”

Di kalangan ramai warga Singapura yang biasa, pendapat seperti ini adalah sangat luar biasa dan agak jauh daripada realiti. Semasa sesi penjualan akhbar Tukul (Hammer) dan juga melalui perbincangan dengan masyarakat Singapura amnya di estet-estet perumahan HDB, kami mendapati bahawa ramai warga Singapura mempunyai pandangan yang amat berbeza.

“Aiyah, PAP melakukan ini kerana mereka telah mendapat 70% undi pada pilihan raya umum! Jadi, mereka tidak perlu berunding atau menjelaskan apa-apa sahaja! ”

Malah, pada 17 Ogos 2015, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air (MEWR) pada masa itu, Vivian Balakrishnan, memberitahu Parlimen bahawa “tidak ada keperluan untuk pelarasan atau merubah (harga air) pada ketika ini”.

Sebulan sebelum Pilihan Raya Umum tahun 2015, jawapan yang sedemikian adalah satu jawapan yang seharusnya diberikan. Menteri berkata bahawa kekurangan air BUKAN merupakan satu isu yang utama – kebimbangan yang sebenar adalah lebih terhadap harga tenaga dan juga kos menghasilkan air.

Kini, kurang daripada dua tahun setelah jawapan tersebut dikemukakan, ramai rakyat Singapura ingin mengetahui mengapa kenaikan harga air yang diumumkan pada tahun ini terutama dalam situasi perkembangan ekonomi yang agak perlahan. Ini memandangkan pemerintah PAP mempunyai pandangan yang sebaliknya pada tahun 2015. Adakah harga tenaga tiba-tiba meningkat sebanyak 30%?

Mereka juga meminta pemerintah agar menjelaskan kenaikan harga air sebanyak 30%, kerana mereka risau kesannya terhadap harga makanan dan minuman seperti kopi. Pemerintah seharusnya memberikan penjelasan namun sebaliknya pemerintah menggunakan faktor kekurangan air sebagai alasan diatas kenaikan harga air walaupun Menteri MEWR telah memberitahu pada tahun 2015 bahawa sebab utama yang akan meningkatkan harga air adalah merupakan isu ‘keselamatan tenaga’ (energy security issue) yang bergantung atau tertakluk pada harga tenaga.

Semasa Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Chan Chun Sing berdiri untuk berucap di Parlimen mengenai isu air semasa perbahasan Belanjawan 2017, Menteri mengemukakan isu kenaikan harga air seperti berikut – “Adakah kita bersetuju bahawa air adalah satu keperluan asas dalam menjamin penerusan kehidupan dalam negara kita? Adakah kita bersetuju bahawa kita harus menentukan harga air dengan betul?”

Walau bagaimanapun, orang ramai menginginkan jawapan pemerintah yang lebih daripada setakat penjelasan tentang isu-isu air sebagai keperluan asas. Adalah jelas, bahawa orang ramai ingin memahami bagaimana cara pemerintah menentukan harga air terutama sekali, memandangkan peningkatan-peningkatan dalam teknologi pemprosesan air selama ini. Semasa perbahasan belanjawan 2017, Anggota Parlimen WP telah mengemukakan beberapa soalan mengenai isu kenaikan harga air kepada pemerintah.

Petikan daripada ucapan-ucapan oleh Anggota Parlimen WP di parlimen:

Cik Sylvia Lim

Cik Sylvia Lim (Aljunied): Semalam, Menteri Alam Sekitar dan Sumber Air memberikan pelbagai sebab mengenai kenaikan harga air. Tetapi, sebab-sebab yang berikan adalah yang telah diketahui sejak dahulu. Alasan-alasan seperti kenaikan kos pengeluaran, keperluan untuk membina loji penyahgaraman yang lebih dan sebagainya tidak mungkin timbul secara tiba-tiba.

Harga air tidak pernah bertukar selama 17 tahun yang lepas. Tidakkah terlintas di fikiran pemerintah untuk menaikkan harga air sebelum tahun ini? Sebaliknya, untuk cukai karbon, pengumuman tentang kenaikannya telah diumumkan oleh pemerintah 2 tahun sebelum pelaksanaannya pada tahun 2019. Masa pendahuluan ini adalah dialu-alukan kerana ia membolehkan perniagaan dan pengguna untuk bersiap-sedia seperti mengatur strategi dan mengaplikasikan kaedah jimat tenaga.

Balik kepada air, mengapa warga Singapura tidak diberi masa untuk bersedia untuk menghadapi kenaikan harga air yang akan dilaksanakan pada Julai tahun ini dengan satu pengumuman dua tahun sebelum ini – pada Julai 2015? Julai 2015 mungkin bukan masa untuk membuat pengumuman seperti ini.

Encik Png Eng Huat

Encik Png Eng Huat (Hougang): Bolehkah pihak berkuasa berkongsi maklumat tentang betapa banyak kerugian yang dialami kerana membekalkan warga Singapura dengan air sejak 2000 sehingga perlu mengenakan kenaikan yang tinggi? Menteri Masagos telah menyatakan dalam jawapannya kepada Soalan Parlimen saya bahawa penggunaan air purata negara telah jatuh sebanyak 11% berbanding 10 tahun yang lalu. Jumlah isi rumah (household) yang menggunakan air melebihi tahap purata negara kekal stabil selama sedekad yang lalu, iaitu sebanyak 40%. Jika kita melihat penggunaan per kapita, penggunaan air Singapura adalah dianggarkan 5% hingga 70% lebih rendah berbanding London, Melbourne, Tokyo, Hong Kong dan New York.

Apa yang boleh dikatakan mengenai nombor-nombor ini? Ia mengatakan bahawa warga Singapura memahami situasi kekurangan air dan kita sentiasa memainkan peranan untuk memelihara elemen penting ini. Menteri juga mengaku kenyataan ini dan beliau menyeru warga Singapura supaya tidak berpuas hati dan teruskan usaha untuk menjimat lebih banyak air sebaik mungkin. Warga Singapura telah melakukan sedemikian dan saya yakin warga Singapura akan terus melakukan yang terbaik dalam berjimat menggunakan air pada masa mendatang.

Encik Dennis Tan

Apa yang mengelirukan saya adalah Menteri Kewangan telah menyatakan dalam kenyataan Belanjawannya bahawa air adalah penting untuk kehidupan kita dan oleh itu, harga air mesti mencerminkan kos pengeluaran yang lebih tinggi menerusi proses penyahgaraman air dan NEWater. Soalan saya adalah, kita sudah mempunyai loji penyahgaraman dan NEWater untuk beberapa ketika. Pada tahun-tahun kebelakangan ini, takungan-takungan air, loji penyahgaraman dan bekalan air dari Malaysia serta isu-isu air lain telah diselenggarakan dengan sebaiknya. Kita sudah mempunyai lebih pilihan berkenaan bekalan air. Mengapa kita perlu menimbulkan kenyataan mengenai kenaikan kos air secara tiba-tiba? Mengapa ia tidak ditimbulkan dalam tahun-tahun kebelakangan ini?

Encik Pritam Singah dan Menteri Masagoes

Encik Pritam Singh (Aljunied): …Saya ingin menanyakan Menteri tentang bagaimana PUB membuat pernilaian tentang waktu atau bilakah akan dinaikkan harga air, kerana menurut Laporan Tahunan PUB, pendapatan bersih PUB – selepas geran-geran pemerintah dan sumbangan kepada Dana yang Disatukan (consolidated fund) serta cukai – adalah lebih tinggi bagi jangka waktu antara tahun 2013 dan 2015 berbanding dengan antara tahun 2010 dan 2012. Antara tahun 2013 dan 2015, ia adalah lebih kurang $550 juta dan antara 2010 dan 2012, ia adalah $339 juta….

Encik Masagos Zulkifli: Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Anggota kerana menanyakan soalan-soalan ini. Mengenai hal akaun-akaun PUB, saya rasa ia adalah amat rumit untuk menjelaskan dan merumuskan angka-angka tersebut. Akaun-akaun kami adalah dalam bentuk terakru (accrual) sementara perbelanjaan kami adalah dalam tunai dan ia perlu diselaraskan. Apa yang kita boleh lakukan ialah saya akan menyuruh Menteri Kewangan untuk mengkaji semula pendekatan keseluruhan pemerintah (whole-of-Government approach) dalam membiayai infrastruktur air kita. Saya berpandangan, ini adalah sesuatu yang lebih sesuai. Oleh kerana terdapat bahagian yang dibiayai oleh pemerintah dan bahagian lain yang dibiayai oleh PUB, ia adalah kurang tepat disebabkan kita melihat setiap akaun secara berasingan….Harga air pada masa ini yang kami cadang untuk dinaikkan adalah Kos Marginal Jangka Panjang (LRMC) yang merupakan kos untuk mengeluarkan titisan air seterusnya. Oleh itu, tidak kira apa jua sebabnya, titisan air seterusnya yang kami perlu adakan adalah dari hasil penyahgaraman serta NEWater. Oleh itu, kenaikan harga merangkumi kesemua faktor-faktor ini. Masalahnya adalah bukan harga. Masalahnya adalah apa yang kita akan lakukan dan apa yang kita boleh lakukan bagi mengelakkannya daripada berlaku. Oleh kerana ia adalah bukan masalah bekalan, ia akan menjadi sebuah isu yang amat rumit, jika berlaku.

Soalan-soalan yang ditujukan oleh Anggota-anggota Parlimen WP memberi tumpuan terhadap sama ada pemerintah telah memberi alasan dan sebab yang baik untuk menaikkan harga air dan sama ada satu penilaian telah dilakukan mengenai kesan ke atas masyarakat dengan mengambil kira bahawa air merupakan keperluan asas umum yang penting. Kenaikan harga air sebanyak 30% akan memberikan kesan ke atas kos sara hidup terhadap semua warga Singapura.

Sebaliknya, Menteri Chan Chun Sing mengakhiri ucapan belanjawan beliau dengan berhujah bahawa sebuah pemerintah yang bertanggungjawab tidak akan mengganggu pasaran dan akan menetapkan harga barangan keperluan dengan betul agar tidak perlu untuk mewujudkan subsidi-subsidi yang akan membebankan generasi-generasi akan datang. Namun, ini bukanlah isu yang sedang dipersoalkan. Sebaliknya, yang lebih penting adalah sebuah pemerintah yang bertanggungjawab seharusnya memberi penjelasan yang munasabah tentang bagaimana harga air ditetapkan.

Malangnya, pemerintah tidak berusaha untuk menjelaskan cara atau kaedah penetapan harga air secara terperinci kepada Anggota-anggota Parlimen WP di dalam Parlimen atau kepada warga Singapura, di luar Parlimen. Maka tidak hairanlah apabila selepas debat Belanjawan, Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengakui bahawa isu kenaikan harga air sebanyak 30% boleh dijelaskan dengan cara yang lebih baik kepada warga Singapura sebelum ia diumumkan. Ironinya, Parlimen merupakan platform yang paling baik bagi pemerintah untuk membuat penjelasan yang sedemikian.