Protection from Online Falsehoods and Manipulation Bill – Speech by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 8 May 2019)

Tuan, pemerintah mengatakan Rang Undang-Undang Perlindungan Daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (POFMA) adalah satu usaha kawalan dari segi undang-undang untuk mengatasi gejala berita palsu yang semakin menjadi-jadi dialam siber terutama melalui media sosial. Dikatakan juga undang-undang sebegini adalah perlu demi untuk menjaga perpaduan warga.

Tuan, Parti Pekerja setuju untuk diadakan undang-undang dalam menangani gejala atau fenomena berita palsu dalam talian namun Parti Pekerja telah mengambil keputusan untuk tidak menyokong dan menolak POFMA.

Parti Pekerja tidak setuju dengan prinsip dasar POFMA iaitu memberi kuasa kepada para menteri, iaitu pihak eksekutif, menjadi pihak penentu pertama (first arbitrator) dalam membuat keputusan samaada sesebuah catatan atau penyataan boleh dianggap sebagai palsu ataupun tidak.

Parti Kerja mencadangkan agar institusi kehakiman dan bukan pihak eksekutif menjadi pihak yang membuat keputusan atau penentu pertama. Kami berpendapat dan yakin bahawa cadangan ini adalah lebih sesuai dalam mencapai tujuan utama iaitu menjaga serta mengekalkan perpaduan warga.

Kami tidak bersetuju dengan prinsip dasar POFMA adalah kerana ia mengandungi elemen-elemen yang boleh menjerumuskan kepada

penyalahgunaan kuasa dan jika ini belaku ia akan menjejas perpaduan warga, sesuatu yang bertentangan dengan objektif utama dalam

mengadakan undang-undang untuk mencegah dan mengawal berita palsu didalam talian. Kita harus akui dalam konteks ini bahawa perpaduan warga juga boleh berlaku jika keputusan dan tindakan yang diambil oleh pihak menteri ada unsur-unsur penyalahgunaan kuasa.

Kebimbangan tentang penyalahgunaan kuasa ini telah disuarakan oleh ramai pihak; golongan orang awam, ahli-ahli politik, wartawan, badan-badan sivil, para akademik dan sebagainya, sejak bacaaan pertama POFMA dilakukan di Parlimen pada 1 April 2019.

Tuan, kebimbangan ini bukanlah tidak berasas.

Dalam ucapan saya ini, saya akan (i) membincangkan dua peruntukan yang terdapat didalam POFMA yang telah menimbulkan kebimbangan tentang berkemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemerintah dan (ii) saya juga akan menyentuh tentang beberapa hujah pemerintah dalam menjawab kebimbangan tentang aspek negatif POFMA.

Tuan,

Dua peruntukan yang saya katakan awal tadi terdapat dibawah seksyen 2 and seksyen 4(f).

Seksyen 2, memberi definisi iaitu penyataan palsu adalah satu penyataan yang sememang nya palsu atau penyataan yang bukan palsu namun boleh mengelirukan.

Perkataan ‘mengelirukan’ dalam definisi ini menimbulkan kebimbangan tentang berkemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa.

Menteri adalah seorang anggota politik dari parti pemerintah. Ramai telah menyuarakan jika terdapat situasi dimana kritikan-kritikan terhadap dasar-dasar pemerintah atau pandangan-pandangan yang negatif terhadap parti pemerintah, dapatkah para menteri melakukan penilaian dan membuat keputusan yang adil. Ini adalah kerana dalam situasi ini, para menteri menjadi ‘conflicted party’ atau pihak yang berkonflik. Ianya boleh berlaku dimana demi mempertahankan dasar-dasar pemerintah dan juga demi pertahankan maruah parti pemerintah, perkataan ‘mengelirukan’ dibawah seksyen 2 boleh diekploitasi oleh pihak menteri.

Tuan, mendiang Lee Kuan Yew pernah mengatakan bahawa pemerintah adalah PAP dan PAP adalah pemerintah, saya nukil “I make no apologies that the PAP is the Government and the Government is the PAP”. Penyataan mendiang ini boleh ditafsirkan sebagai, Perkhidmatan Awam dan Badan-badan Berkanun adalah PAP dan sebaliknya. Berpandukan tafsiran ini, tidaklah salah jika ada kebimbangan berkemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa demi untuk mempertahan kepentingan sesebuah parti politik.

Tuan, kita juga telah menyaksikan bagaimana keadaan serba-salah Perdana Menteri Lee semasa beliau harus membuat keputusan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap adik-beradik beliau, Encik Lee Hsien Yang dan Doktor Lee Wei Liang. Dalam isu Oxley Road yang dibentangkan di Parlimen, PM Lee berada dalam posisi sebagai ‘a conflicted party’ atau pihak yang berkonflik. Dalam isu ini, dakwaan-dakwaan yang menjejas integriti Perdana Menteri dan pemerintah telah diutarakan. Ini diakui oleh Perdana Menteri sendiri, saya nukil beberapa penyataan dari ucapan beliau:

  • “I am making this Statement today because my siblings Dr Lee Wei Lian and Mr Lee Hsien Yang have made serious allegations of abuse of power against me and my Government”.
  • These allegations are entirely baseless but they have already damaged Singapore’s reputation. Unrebutted, they can affect Singaporeans’ confidence in the Government”.
  • “In normal circumstances, in fact, in any other imaginable circumstance than this, I would have sued immediately, because the accusation of the abuse of power is a very grave one, however baseless it may be. And it is, in fact, an attack not just on me, but on the integrity of the whole Government. But suing my own brother and sister in court would further besmirch our parents’ names. At the end of the day, we are brothers and sister, and we are all our parents’ children”.

Penyataan-penyataan PM Lee diatas menunjukkan bahawa tidak mudah untuk membuat keputusan dalam situasi beliau sebagai ‘a conflicted party’ atau pihak yang berkonflik. Ramai yang menyoalkan samada keputusan yang diambil oleh PM Lee dalam pekara ini adalah tepat ataupun sebaliknya.

Tuan, tidak boleh dinafikan bahawa POFMAS akan menimbulkan situasi dimana para menteri akan berada didalam situasi yang serba salah seperti apa yang dilalui oleh PM Lee.

Tuan, sekarang saya beralih ke seksyen 4(f). Seksyen ini memperkukuhkan lagi pandangan tentang berkemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa oleh para Menteri. Seksyen ini memberi kuasa kepada para menteri untuk mengambil tindakan yang sewajarnya jika berlaku penyataan palsu atau yang mengelirukan yang bertujuan untuk menjejas secara negatif keyakinan rakyat terhadap pemerintah. Dalam situasi sebegini, para menteri sekali lagi menjadi ‘conflicted party’ atau pihak yang berkonflik bila diambil kira tafsiran penyataan mendiang Lee Kuan Yew, bahawa PAP adalah pemerintah dan pemerintah adalah PAP.

Tuan, seterusnya saya ingin menyentuh tentang beberapa hujah pemerintah dalam menjawab pertanyaan orang ramai tentang POFMA.

Pertama, pemerintah apabila ditanya kenapa memilih para menteri dan bukan institusi kehakiman sebagai penentu pertama, jawapan yang diberi ialah proses mahkamah akan memakan masa dan ini kurang sesuai kerana langkah-langkah harus diambil dengan segera demi untuk mengawal penularan berita palsu dan membataskan kerosakan yang boleh berlaku kepada perpaduan warga.

Tuan, perkara ini boleh diatasi dengan mengadakan peruntukan agar proses untuk mendapatkan keputusan ini boleh dilakukan dengan secepat mungkin. Perkara ini telah disentuh dan diterangkan oleh rakan saya Encik Pritam Singh.

Hujah kedua, dalam menjawab soalan berkemungkinan berlakunya pemerintah pada masa hadapan yang tidak bertanggunjawab mengeksploitasikan POFMA. Menteri Shanmugam mengatakan dia tidak boleh memberi jaminan. Saya berpandangan jawapan menteri bermasalah dan menghairankan. Tuan, pemerintah PAP selama ini selalu mengatakan bahawa mereka adalah pemerintah yang mengambil berat tentang masa hadapan Singapura dan pemerintah selalu merumuskan dasar-dasar yang berpandangan jauh dan yang akan memberi jaminan masa depan yang baik bagi Singapura. Salah satu contoh adalah dasar pemerintah mengadakan fungsi kunci kedua bagi rizab negara, dimana fungsi ini diberikan kepada President Di Pilih. Tujuan mengadakan fungsi kunci kedua ini adalah untuk menghalang pemerintah yang tidak bertanggungjawab daripada menggunakan rizab secara sesuka hati demi kepentingan politik.

Agak menghairankan mengapa ada perbezaan serta tidak konsisten dalam pendekatan serta nilai pemerintah dalam menangani situasi berkemungkinan berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam isu POFMAS dan rizab negara.

Tuan, akhirkata, menerusi perbincangan yang telah saya bentangkan, saya percaya anggota-anggota dewan serta masyarakat Singapura boleh bersetuju bahawa cadangan untuk menjadikan institusi kehakiman sebagai satu-satunya kuasa penentu adalah pilihan yang lebih baik dan tepat, berbanding dengan prinsip dasar POFMAS, iaitu memberikan kuasa penentu pertama kepada para menteri. Ini adalah kerana jika mahkamah yang menjadi satu-satunya penentu, tidak akan timbul kebimbangan tentang penyalahgunaan kuasa. Seperti yang saya katakan awal dalam ucapan saya, jika berlakunya penyalahgunaan kuasa, ia boleh menjejas perpaduan warga dan ini bertentangan dengan objektif utama untuk mengadakan undang-undang dalam mengawal kepalsuan dan manipulasi dalam talian.

Terima kasih.