Debate on President’s Speech – Speech by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 17 May 2018)

Tuan Speaker,

Saya seperti anggota-anggota parlimen yang lain ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden Puan Halimah Yacob diatas taklimat yang disampaikan. Apa yang diperkatakan beliau sememangnya harus di terima-pakai (adopt) sebagai panduan dan arah tuju bagi para pemimpin negara terutama sekali para pemimpin generasi yang keempat, untuk membawa negara kita ke mercu kejayaan, sebuah kejayaan, yang dapat diraih dan dirasakan oleh setiap rakyat Singapura tidak kira bangsa, agama dan latar-belakang terutama sekali golongan yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan. Saya ingin menyentuh tentang sebuah nasihat yang bernas dari Presiden Puan Halimah tentang harus adanya nilai atau sifat keberanian dalam mengambil langkah-langkah demi untuk membawa negara kita ke tahap yang lebih baik dalam segala aspek.

Puan Halimah dalam ucapan beliau mengulas bahawa pada era ini kita menghadapi sebuah situasi yang tidak menentu dan sering berubah samada diluar atau dalam negara. Beliau mengatakan kita harus berfikir dan juga mengambil langkah-langkah perubahan yang berani yang diluar dari kebiasaan (bold thinking and changes) dalam menghadapi situasi kehidupan dimana perubahan berlaku dengan pesat dan kadang-kala hanya dengan sekelip mata. Beliau menyeru kepada para pemimpin terutamannya pemimpin-pemimpin generasi yang keempat agar menyambung serta memperkukuhkan apa yang telah dilaksana dan dicapai oleh kepimpinan yang terdahulu namun pada masa yang sama harus juga melahirkan ide-ide baru dan segar dalam mengharungi situasi masa depan yang berbeza dan berlainan. Saya amat bersetuju dan menyokong seruan Puan Halimah tentang pentingnya berfikir dan mengambil langkah-langkah berani yakni sesuatu yang luar dari kebiasaan, agar kita dapat memperkukuhkan kedudukan serta tahap relevan Singapura diarena antarabangsa dan pada masa yang sama meningkatkan kesejahteraan bagi setiap rakyat Singapura kerana rakyat adalah nadi dan tunggak negara. Kedua-dua perkara ini adalah sama penting dan berkait rapat seperti isi dan kuku. Namun saya berpandangan bahawa kesejahteraan rakyat Singapura harus diberi keutamaan kerana tahap kesejahteraan sesebuah masyarakat adalah faktor penentuan kepada tahap motivasi dan inovasi masyarakat itu. Sebuah masyarakat yang bermotivasi dan berinovasi akan melahirkan sebuah negara yang kukuh dan progresif. Oleh itu adalah penting, untuk para pemimpin malah bukan setakat pemimpin tetapi juga rakyat Singapura secara kolektif untuk berfikiran dan mengambil langkah-langkah berani dalam perjalanan dan usaha kita untuk mengecapi aspirasi kita bersama iaitu membina sebuah masyarakat yang demokratik berdasarkan keadilan dan kesaksamaan (justice and equality) dan justeru mengecapi kebahagian, kemakmuran dan kemajuan bagi negara kita ini, ‘Happiness, Prosperity and Progress for our nation’

Kita telah tiba dipertengahan perjalanan (journey) bagi penggal parlimen yang ketiga-belas. Adalah baik bagi setiap anggota dewan ini, terutama diri saya sendiri, melakukan introspeksi atau muhasabah diri sebelum kita semua menyambung perjalanan seterusnya. Ini adalah agar kita semua lebih jelas dan sedar sebagai pemegang amanah suara rakyat tentang langkah-langkah yang perlu diambil demi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada negara dan masyarakat Singapura.

Dalam melakukan introspeksi atau muhasabah diri ini, saya ingin memberi tumpuan kepada nasihat Presiden Puan Halimah mengenai perlu berfikiran dan mengambil langkah-langkah berani atau sesuatu yang luar dari kebiasaan dalam situasi yang memerlukan.

Dalam proses muhasabah diri, diantara soalan-soalan yang harus diajukan kepada diri sendiri sebagai para penggubal dasar (lawmakers) adalah;

(i) yang pertama, adakah selama ini kita telah berjaya berifkiran dan melaksanakan langkah-langkah yang berani dalam membuat perubahan pada dasar-dasar negara demi untuk memenuhi keperluan asas dan kesejahteraan negara dan masyarakat Singapura.

(ii) yang kedua, masih adakah dasar-dasar yang perlu diperbaiki atau diubah yakni dasar-dasar yang mendatangkan implikasi yang tidak diingini yang menjejas kesejahteraan rakyat Singapura. Jika ada, apakah langkah yang harus diambil?

Bagi memudahkan proses introspeksi ini saya akan berkongsi dua isu yang pernah saya ketengahkan di dalam dewan sebelum ini. Saya ingin mengajak kita semua, anggota-anggota dewan menganalisa tentang harus kah kita mengambil langkah-langkah yang lebih berani agar kita dapat memberi lebih kesejahteraan kepada setiap golongan dan lapisan masyarakat Singapura.

Isu yang pertama adalah mengenai COE bagi motosikal. Saya telah berulang kali menyuarakan isu ini dan memberi beberapa cadangan agar pemilik-pemilik motosikal terutama bagi golongan yang berpendapatan rendah, yang memerlukan motosikal sebagai sumber untuk mencari pendapatan, agar tidak menanggung bebanan serta masih terus mampu memiliki sebuah motosikal. Dalam hal ini, mengapakah pihak kementerian tidak mengambil tindakan yang lebih berani dalam mengawal dan memperbaiki situasi demi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada golongan yang berpendapatan rendah yang dibebani dan terjejas oleh harga COE yang melampau. Secara ringkas, bagi isu COE motosikal ini, saya telah mencadangkan langkah-langkah yang harus diambil agar golongan yang berpendapatan rendah tidak dibebani, dapat terus bernafas dan terus berdikari. Namun respon kementerian adalah, mereka juga amat prihatin tentang bebanan kewangan yang dihadapi oleh golongan berpendapatan rendah yang terjejas dan dibebani oleh harga COE motosikal dan mengesa agar golongan ini pergi ke Pejabat Khidmat Sosial (SSO) untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Dalam hal ini, saya kurang setuju dengan pendekatan kementerian, yang menasihatkan agar golongan yang berpendapatan rendah yang terjejas oleh harga COE yang tinggi, meminta bantuan kewangan bagi meringankan bebanan kewangan mereka.

Bukan kah kita, masyarakat Singapura, disuruh berdikari (self-reliant)? Bukan kah masyarakat juga disuruh agar tidak mempunyai ‘crutch mentality’ atau mentaliti ketergantungan kepada bantuan kewangan?

Dalam hal ini, kita dapat melihat bahawa kementerian agak kurang berani untuk membuat perubahan pada dasar COE bagi motosikal malah mengambil pendekatan yang agak bercanggah dengan prinsip yang selalu diwar-warkan, iaitu bersifat berdikari dan jangan mempunyai ‘crutch mentality’, dengan mengesa agar sesiapa yang pendapatan mereka terjejas oleh harga COE motosikal yang tinggi, mendapatkan bantuan dari Pejabat Khidmat Negara (SSO).

Contoh yang kedua adalah mengenai isu perumahan bagi ibu-bapa tunggal terutama bagi ibu tunggal yang belum bernikah. Isu ini adalah isu yang selalu disentuh oleh ramai anggota-anggota dewan samada yang terkini atau yang sebelumnya. Pemerintah harus mengambil langkah yang berani atau ‘bold measures’ dalam menangani masalah yang telah membebani golongan ibu-bapa tunggal didalam masyarakat kita. Walaupun ada beberapa perubahan kecil yang telah dilakukan namun ia tidak memberi impak dan manfaat yang besar kepada golongan ini. Masih ramai lagi ibu-bapa tunggal yang masih dibebani oleh isu untuk mendapatkan tempat berteduh bagi diri mereka dan anak-anak mereka oleh kerana dasar-dasar perumahan awam HDB yang agak ketat.

Persoalannya, adakah dasar perumahan awam yang sedia ada mendatangkan kesejahteraan kepada golongan ibu-bapa tunggal dan keluarga mereka? Jawapannya agak jelas, Tidak! Oleh itu perubahan harus dilakukan agar golongan ibu-bapa tunggal ini dapat menikmati kesejahteraan bagi diri mereka dan keluarga mereka.

Selain daripada mengambil langkah berani dalam menggubal serta membuat perubahan dasar-dasar negara, saya juga ingin menyentuh tentang nilai demokrasi terutama dalam hak untuk memberi pandangan menerusi platfom parlimen. Saya ingin menyeru kepada pemerintah terutama pemimpim-pemimpin generasi keempat agar lebih berani untuk bersifat terbuka dan mengalakkan isu-isu sensitif dibincangkan di dewan ini. Kita boleh imbas semula sebuah babak perbincangan dimana saya tidak dibenarkan untuk menyuara satu isu yang dikatakan sensitif di dalam dewan ini. Seperti yang diketahui, isu sensitif yang saya ketengahkan, juga pernah disuarakan oleh beberapa anggota dewan dari parti pemerintah namun tidak mendapat reaksi yang sama. Saya minta agar para pemimpin kita tidak mengambil sifat ‘double standard’ atau pilih kasih, dimana hanya anggota parlimen dari parti pemerintah sahaja dibenarkan menyuara isu-isu sensitif sementara jika isu yang sama disuarakan oleh anggota-anggota dewan yang bukan dari parti pemerintah, ianya dikatakan tidak sesuai dan tidak wajar. Kita perlu lebih bersifat terbuka demi untuk mencapai satu masyarakat yang demokratik berdasarkan keadilan dan kesakamaan.

Ringkasan dan kesimpulan ucapan saya adalah, sebagai para pemimpin dan penggubal dasar yang telah diberikan amanah untuk memandu masyarakat Singapura mengecapi aspirasi kita bersama, harus bersifat berani dalam berfikir dan mengambil langkah semasa menjalankan proses penggubalan dan perubahan dasar-dasar negara. Dasar-dasar yang sedia ada yang menjadi penghambat, menyusahkan dan yang bertentangan dengan usaha-usaha untuk mengecapi aspirasi masyarakat harus diubah-suai, diperbaiki atau dibubarkan langsung jika perlu. Kedua, pemerintah harus bersifat terbuka dan tidak bersifat ‘double standard’ dalam perbincangan mengenai dasar-dasar negara terutama isu-isu sensitif demi untuk mencapai sebuah masyarakat yang demokratik berdasarkan keadilan dan kesaksamaan.

Saya ingin mengulangi apa yang telah saya katakan dipermulaan ucapan saya iaitu, demi untuk mengecapi aspirasi masyarakat Singapura, ia memerlukan usaha secara kolektif. Kita mungkin boleh mengambil iktibar dari Tun Dr Mahathir Mohamad dan rakyat Malaysia yang telah menunjukkan semangat keberanian yang luarbiasa demi untuk mendatangkan kesejahteraan kepada negara mereka. Disini, saya ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad diatas perlantikkan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh baru-baru ini.

Akhirkata, setiap pihak, samada yang memimpin dan yang dipimpin perlu menjalinkan kerjasama dan berganding bahu dengan berteraskan prinsip dan nilai demokrasi. Perbincangan yang konstruktif, keberanian untuk tegur-menegur dan menyuarakan isu-isu yang sensitif melaui saluran yang sesuai dan betul adalah amalan-amalan yang positif dalam sebuah negara yang mengamalkam sistem demokrasi yang berdasar keadilan dan kesaksaman (justice and equality). Amalan-amalan sebegini adalah perlu dan amat penting dalam proses penggubalan dan perubahan dasar-dasar negara demi untuk kita masyarakat Singapura mengecapi Kebahagian, Kemakmuran dan Kemajuan.

Terima kasih Tuan.