COS 2013 Debates: PMO – Proportion of Malays in Singapore (MP Muhamad Faisal Bin Abdul Manap)

By MP for Aljunied GRC, Muhamad Faisal Bin Abdul Manap
[Delivered in Committee of Supply on 7 March 2013]

Puan pengerusi,

Parlimen baru sahaja mendebatkan tentang Kertas Putih Kependudukan baru-baru ini. Saya ada beberapa soalan mengenai isu tentang kadar kaum Melayu di Singapura.

Pada hari terakhir perdebatan Kertas Putih Kependudukan bulan lepas, Perdana Menteri, dalam ucapan beliau, telah memberi kepastian bahawa Pemerintah akan berusaha untuk memastikan kestabilan peratusan kaum Melayu di Singapura namun beliau tidak menjelaskan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pemerintah dalam perkara ini. Perdana Menteri juga pernah mengulas pada Disember lalu di sebuah sesi Perbincangan Singapura Kita’  bahawa Pemerintah berusaha bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk menarik bakat Melayu dari Malaysia dan Indonesia namun bilangannya amat kecil setiap tahun.  Oleh itu, soalan (i)  pertama saya adalah apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh pemerintah selama ini dalam menarik bakat Melayu dari Malaysia dan Indonesia namun tidak mendatangkan hasil yang baik dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh pemerintah seterusnya dalam usaha menarik bakat-bakat Melayu ini.

Pada sesi debat yang sama, Menteri, Puan Grace Foo, telah menyatakan bahawa peratusan kaum Melayu dalam Populasi Kerakyatan Singapura (Citizen Population) iaitu tidak termasuk Penduduk Tetap adalah stabil, dimana pada tahun 2000 ,14.9% dan pada 2010 kenaikan kepada 15.1%. Kenyataan ini amat memberangsangkan namun jika kita lihat kepada keseluruhan dari sudut Populasi Penduduk Singapura (Resident Population) yang merangkumi Warga Negara serta Penduduk Tetap Singapura, peratusan kaum Melayu telah mengalami kemerosotan dari 13.9% pada tahun 2000 ke 13.4% pada tahun 2010.

Soalan (ii) kedua saya adalah apakah faktor-faktor penyebab kemerosotan pada peratusan kaum Melayu dari sudut ‘Resident Population’ walaupun ada peningkatan pada peratusan kaum Melayu dari sudut ‘Citizen Population’ .

Didalam ucapan saya pada debat Kertas Putih Kependudukan, saya ada menyatakan bahawa saya berpandangan, kemungkinan Penghijrahan adalah satu daripada faktor-faktor yang mungkin menyebabkan kemerosotan dalam peratusan kaum Melayu di Singapura. Soalan (iii) ketiga saya, adakah tren penghijrahan kaum Melayu meningkat dalam sepuluh tahun kebelakangan ini dan berapa jumlah tahunan individu-individu Melayu yang telah berhijrah keluar dari Singapura dan adakah ia satu faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan peratusan kaum Melayu.

Memetik dari ucapan Menteri Puan Grace Foo pada debat Kertas Putih Kependudukan, bahawa pemerintah akur tentang pentingnya mengekalkan kesimbangan kaum dalam populasi Singapura demi untuk mengekalkan atau memelihara kestabilan sosial.

Atas dasar ini, saya meminta agar Pemerintah dapat melaksanakan langkah-langkah yang lebih efektif dalam isu kadar komposisi kaum Melayu di Singapura.

Terima kasih.