COS 2013 Debates: MCCY – Tertiary Tuition Fee Subsidy (MP Muhamad Faisal Bin Abdul Manap)

By MP for Aljunied GRC, Muhamad Faisal Bin Abdul Manap
[Delivered in Committee of Supply on 14 March 2013]

Puan saya ingin mengutarakan 2 cadangan mengenai TTFS.

Yang pertama Puan, Menteri Yacob dalam menjawab soalan parlimen saya mengatakan bahawa jumlah dana TTFS yang tidak diagih disalurkan kepada Dana Pendidikan Mendaki (EDF) dimana dana ini digunakan untuk skim bantuan pendidikan dan program pendidikan yang dikendalikan oleh Mendaki. Disini, saya ingin mencadangan agar sebahagian dari lebihan dana TTFS diketepikan dan dibentuk sebuah Biasiswa Pos-Graduan atau Post Graduate Scholarship.

Biasiswa Pos-Graduan ini boleh diperuntukkan serta dikhaskan kepada bidang-bidang pengajian yang khusus yang boleh melahirkan pakar-pakar yang memberi manfaat kepada masyarakat Melayu Singapura seperti bidang Ekonomi dan Siosologi.

Puan, Menteri Yacob pernah mengatakan dalam sebuah sesi temuduga melalui Radio Warna pada April 2010 bahawa Masyarakat Melayu kekurangan pakar-pakar dalam menangani isu-isu sosial yang membelenggu masyarakat kita. Beliau juga mengatakan bahwa lebih banyak pakar-pakar Melayu diperlukan untuk mengatasi masalah keluarga pincang serta gejala dadah.

Saya rasa dengan adanya bantuan biasiswa ini, ia boleh merangsang serta membantu individu-individu untuk melanjutkan pengajian keperingkat ynag lebih tinggi dalam bidang-bidang yang khusus ini agar akan terlahir kelak pakar-pakar yang diperlukan untuk menangani isu-isu sosial masyarakat Melayu di Singapura.

Puan, Seterusnya, saya berharap Pemerintah dapat mempertimbangkan untuk membenarkan golongan individu-individu dari keturunan campuran atau ‘mixed parentage’ seperti sesetengah kaum India Islam diberi peluang untuk meraih memanfaat daripada TTFS.

Puan, saya amat memahami bahawa TTFS hanya diperuntukkan kepada masyarakat Melayu sahaja. Namun seperti yang diketahui, sebilangan besar kaum India Islam dan golongan keturunan campuran yang lain di Singapura menjalani kehidupan yang sama seperti masyarakat Melayu. Bahasa utama mereka adalah Melayu dan mereka juga mengamalkan adat-budaya Melayu. Malah sebahagian besar berwajah seperti orang Melayu. Hanya kad pengenalan yang menandakan mereka sebagai India Islam dan sebagainya kerana mengikut bangsa ayah mereka.

Bagi isu ini, saya mencadangkan agar ditubuhkan sebuah Jawatankuasa dimana peranan Jawatankuasa ini semestinya seiras dengan peranan Jawatankuasa Masyarakat Melayu (Malay Community Committee) yang menentukan samaada seseorang individu itu layak untuk bertanding dalam Pilihanraya di Kawasan Undi Berkumpulan (GRC) sebagai Calon Minoriti Melayu. Golongan yang saya sebutkan tadi boleh membuat permohonan kepada JawatanKuasa ini dan jika perlu ditemuduga untuk menentukan samaada layak untuk menerima TTFS atau sebaliknya.

Puan memandang kehadapan, saya rasa penubuhan Jawatankuasa seperti ini adalah munasabah terutama sekali tren perkahwinan antara kaum serta perkahwinan antara rakyat Melayu Singapura dan rakyat asing semakin meningkat.