Budget Speech 2020 by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 27 February 2020)

Budget 2020 Speech

Tema Belanjawan tahun ini adalah ‘Unity Budget’, dalam bahasa nasional kita ‘Bajet Perpaduan’. Saya mengalu-alukan usaha memberi sokongan yang lebih kepada masyarakat Singapura dalam situasi dimana masyarakat sedang berhadapan dengan cabaran penularan wabak COVID 19. Dalam belanjawan ini, langkah-langkah telah diambil agar industri-industri, para peniaga dan pihak-pihak yang terjejas oleh situasi semasa, diberi bantuan dan sokongan bagi mengurangkan beban kewangan dan pada masa yang sama membantu mengekalkan daya tahan kewangan (financial resilience) dalam keadaan ekonomi yang semakin hambar.

Bantuan dan sokongan juga disediakan bagi segmen masyarkat yang terjejas agar dapat berdiri dan membina semula kekuatan kewangan semasa fasa pemulihan. Bantuan dan sokongan kewangan sedemikian adalah penting kerana ia akan membuat golongan yang terjejas, merasakan keperluan dan nasib mereka terbela dan tidak diabaikan, lantas ini akan dapat mengekal serta memperkukuhkan  perpaduan masyarakat.

Daya tahan kewangan adalah salah satu faktor penting dalam usaha mengekal dan memperkukuhkan perpaduan masyarakat. Ini telah terbukti melalui banyak kajian dimana jurang kelas-sosio (social class divide) mempunyai kesan kepada perpaduan masyarakat. Ini adalah kerana mereka yang hidup dalam serba kekurangan akan merasa kurang senang, kerana sedang mereka hidup dalam kepayahan dan tidak ada sesiapa yang ingin membela nasib mereka, ada segolongan yang lain pula hidup dengan kemewahan.

Walaupun daya tahan kewangan adalah penting, namun, yang lebih penting dan utama dalam mengekal dan memperkukuhkan perpaduan masyarkat adalah daya tahan psikologi. Membina dan mengekalkan daya tahan psikologi adalah tidak mudah. Ia memerlukan kesabaran dan usaha yang berterusan. Pembinaan daya tahan psikologi hanya boleh dilakukan melalui penerapan fikiran dan nilai-nilai yang positif dikalangan masyarakat. Tidak boleh dinafikan sebuah masyarakat yang mempunyai daya tahan psikologi yang teguh tidak akan mudah runtuh dalam mengharungi tika dan saat yang mencabar seperti sekarang ini.

Pada ucapan saya kali ini, saya akan menyentuh secara ringkas bagaimana pentingnya faktor daya tahan psikologi dalam mengharungi situasi yang mencabar dan, pada masa yang sama, bagaimana kita masih boleh meraih hikmah-hikmah disebalik sesuatu musibah. Dalam setiap musibah yang dihadapi oleh sesebuah negara, masyarakat, keluarga dan juga individu, adalah menjadi satu amalan atau budaya yang baik jika dilakukan introspeksi atau muhasabah tentang punca-punca berlakunya dan apakah hikmah disebaliknya.

Pengalaman saya sebagai seorang kaunselor rumahtangga telah mengajar saya bahawa kita boleh memilih samada menjalani sesuatu musibah yang berlaku dengan secara positif atau negatif. Jika kita memilih untuk melihat musibah itu dari sudut positif, kita akan dapat mempelajari banyak hikmah disebailk sesuatu kejadian dan, sebaliknya, jika kita memilih melihat secara negatif, maka akan banyak lah keluh-kesah, kesedihan, kemarahan malah juga kemurungan.

Situasi ini boleh diumpamakan melalui sebuah analogi, iaitu ‘Mata Lalat’ dan ‘Mata Lebah’.

Seekor lalat apabila ia terbang memasuki sebuah taman yang penuh dengan pokok-pokok bunga yang berbau harum, ia tetap akan mencari bahan-bahan kotor untuk dihinggapi.

Sebaliknya seekor lebah apabila ia terbang dan memasuki kawasan yang penuh sampah sarap dan kotoran lain, ia akan tetap berusaha mencari sekuntum bunga yang harum untuk dihinggapi.

Analogi ini bagi saya adalah satu contoh yang paling sesuai untuk dijadikan panduan apabila kita menghadapi sesuatu situasi yang tidak diingini. Kita sendiri boleh memilih samada kita ingin melihat sesuatu dari sudut ‘Mata Lalat’ atau ‘Mata Lebah’.

Bila berlakunya sesuatu yang tidak diingini, selalunya persoalan yang bermain-main diminda adalah, apakah punca berlakunya sedemikian? Salah siapa kah yang menyebabkan perkara ini berlaku? Dalam mencari jawapan, sering akan berlakunya sifat menuding jari dan tuduh-menuduh.

Menuding jari adalah antara sifat-sifat negatif yang terdapat pada naluri manusia. Sememangnya adalah fitrah seseorang manusia akan merasakan perasan-perasan negatif ini, maksudnya tidak salah jika merasakan perasan sedemikian namun apa yang salah ialah apabila kita meluahkan perasaan-perasaan ini dengan teguran-teguran, kata-kata dan perbuatan-perbuatan yang boleh menyinggung perasan dan menimbulkan kemarahan mana-mana pihak.

Akan bertambah teruk lagi,  apabila teguran-teguran berunsur sinis ini diluahkan oleh individu-individu yang mempunyai kedudukan didalam masyarakat. Pemimpin-pemimpin politik, masyarakat, organisasi termasuk ketua-ketua keluarga diberi amanah untuk menjadikan diri mereka sebagai satu contoh dan teladan yang baik agar pihak-pihak dibawah jagaan mereka dapat mencontohi mereka. Sebagai seorang pemegang amanah, hendaklah seorang pemimpin itu bersifat lapang dada dan memandang sesuatu kejadian dengan mata hati yang ikhlas dan ihsan. Dengan cara sedemikian, seorang pemimpin akan dapat menilai secara positif dan objektif apabila berlakunya sesuatu kejadian yang negatif, lalu dapat memikir dan mengusahakan cara-cara untuk memperbaiki keadaan dengan sebaiknya. Perkara ini bukanlah mudah namun ia adalah tanggungjawab seseorang pemimpin untuk terus berusaha dan membentuk nilai-nilai yang telah disebutkan.

Kita telah mendengar dan men yaksikan tentang reaksi-reaksi masyarakat Singapura kebelakangan ini dalam menghadapi cabaran penularan virus COVID 19. Kata-kata pujian dan rangsangan telah banyak membanjiri saluran-saluran media sosial dan utama yang ditujukan kepada rakyat-rakyat Singapura yang bertugas dibarisan hadapan dalam menangani situasi penularan virus COVID 19 ini. Para pekerja kesihatan seperti doktor, jururawat, paramedik dan pegawai-pegawai kesihatan yang lain diberi penghormatan sebagai wira kerana terus menjalankan tugasan mereka dengan tulus dan tekun walaupun berhadapan dengan kemungkinan mendapat jangkitan.

Terasa kagum dan terharu apabila dapat mengetahui ada pemilik-pemilik perniagaan makanan dan minuman tampil untuk memberi minuman dan makanan secara percuma sebagai tanda penghargaan dan sokongan keatas kepada mereka yang bertugas di barisan hadapan. Kita juga dapat melihat usaha-usaha murni dikalangan masyarakat Singapura yang ingin menyumbang secara positif dalam memupuk semangat kemasyarakatan dengan mengedarkan secara percuma pelitup-pelitup dan ‘hand sanitiser’ kepada orang ramai. Ini adalah sesuatu yang membanggakan dan menyentuh hati.

Ini adalah contoh-contoh nilai perpaduan yang terpuji yang ditunjukkan oleh masyarakat Singapura. Nilai perpaduan yang dipaparkan dalam situasi-situasi yang disebutkan diatas adalah sesuatu yang positif yang akan membakar semangat masyarakat untuk bersatu hati dalam mengharungi waktu-waktu yang mencabar.

Namun Tuan, malangnya telah berlaku juga beberapa situasi yang kurang menyenangkan dan boleh mengikis semangat perpaduan. Beberapa perkongsian di saluran-saluran media sosial memaparkan insiden-insiden dimana para petugas kesihatan diberi layanan dan teguran secara sinis dan negatif. Ada juga orang-orang awam yang berkongsi bahawa mereka diberi tenungan yang sinis apabila mereka batuk atau bersin ditempat awam. Situasi sebegini adalah tidak sihat dan harus dihentikan.

Kita juga dapat melihat bagaimana ada dikalangan rakyat dan penduduk Singapura yang tidak dapat mengimbangi perasaan kebimbangan mereka, telah terlibat dalam ‘panic buying’ atas sebab bimbangan akan berlakunya kekurangan bekalan makanan, sebaik sahaja Kementerian Kesihatan menukar tahap DORSCON dari kuning ke jingga.

Insiden ini telah menyebabkan ramai yang memberi komentar-komentar yang bersifat kutukan dan kritikan negatif, menyatakan mereka yang terlibat dalam ‘panic buying’ adalah orang-orang yang hanya pentingkan diri sendiri dan meraka yang ‘Kiasu’. Ramai juga yang memberi pandangan-pandangan tentang sebab-sebab berlakunya situasi yang sedemikian. Ada yang berpendapat bahawa reaksi ‘panic buying’ yang berlaku disebabkan situasi sebelumnya, dimana telah berlakunya kehabisan stok bagi pelitup dan ‘hand sanitizer’ walaupun ada jaminan dari Pemerintah tentang kecukupan bekalan pelitup dan meminta agar rakyat Singapura tidak perlu bimbang.

Perkataan-perkataan yang menguris perasan dan penghinaan tidak harus dilafazkan oleh mana-mana lapisan masyarakat samada rakyat atau para pemimpin. Perbuatan tuduh-menuduh dan menuding jari adalah tidak wajar dan boleh meningkatkan lagi tahap keresahan yang sedia ada. Perkara-perkara yang negatif ini, seperti kutukan, kritikan dan menuding jari akan melemahkan daya tahan psikologi dan memberi impak yang kurang sihat kepada perpaduan masyarakat. Kita sebagai sebuah masyarakat harus cuba menjadikan kekata hikmah berikut sebagai satu amalan, iaitu ‘Lebih Baik Berdiam Jika Tidak ada Sesuatu yang Baik untuk Diucapkan’.

Marilah kita semua golongan para pemimpin dan yang dipimpin, terutama diri saya sendiri, melakukan muhasabah, introspeksi dan hentikanlah perkara-perkara yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Kita semua harus mengambil pendekatan yang membina dan positif. Hindarkanlah perbuatan menuding jari kerana seperti kata pepatah ‘Satu jari menuding kearah orang, Empat jari-jemari menuding kearah diri sendiri’.

Akhirkata, sesungguhnya amalan saling tegur-mengegur, ingat-meningati kepada kebaikan dan kesabaran antara sesama kita adalah amalan yang mulia dan amat dianjurkan. Amalan ini adalah satu cara usaha konstruktif yang wajib menjadi amalan setiap lapisan masyarakat demi untuk terus memupuk, mengekal dan memperkukuhkan daya tahan psikologi agar perpaduan masyarakat dan negara tidak tergugat atau tercemar dalam mengharungi waktu-waktu yang mencabar.