Budget Speech 2019 by Muhd Faisal

(Delivered in Parliament on 26 February 2019)

Budget Speech 2019 

Tuan, Pakej Generasi Merdeka merupakan salah satu fokus bagi Belanjawan ini. Generasi ini sememangnya layak untuk dinamakan generasi Merdeka, bukan kerana mereka setakat dilahirkan pada tahun 1950-an, iaitu masa dimana Singapura telah berjuang dan mendapatkan kemerdekaannya dan diikuti dengan pemerintahan sendiri pada tahun 1959. Tetapi adalah kerana generasi ini telah diterapkan dengan nilai dan semangat kemerdekaan, dimana nilai dan semangat ini pula telah mengalir dan diwariskan kepada generasi-generasi sesudah mereka. Sebagai sebuah generasi yang terbentuk dengan nilai dan semangat kemerdekaan, generasi ini harus dipersediakan untuk meniti hari tua mereka secara merdeka dalam maksud kata secara berdikari, tidak memerlukan banyak ketergantungan.

Proses penuaan dengan berdikari adalah, dimana warga emas kita boleh bersara tanpa memerlukan banyak ketergantungan terhadap sumbangan kewangan daripada anak-anak, adik-beradik dan ahli keluarga mereka yang lain, dan juga ketergantungan terhadap badan-badan bantuan pemerintah dan badan-badan kebajikan.

Selain dari golongan warga emas yang mengalami kesusahan kerana dibebani dengan penyakit-penyakit serius dan yang mengalami musibah, warga emas yang menjalani penuaan dengan secara berdikari, seharusnya boleh menjaga diri mereka atau mempunyai kemampuan bagi menampung perbelanjaan diri sendiri dalam menjalani kehidupan hari tua yang bermakna.

Kita perlu membuat perubahan dan penyesuaian terhadap aspek-aspek penjagaan kesihatan, tenaga kerja, pencen sosial, dasar perumahan dan dasar yang berpandukan faktor jantina demi untuk memastikan warga emas kita menjalani penuaan secara berdikari.

Parti Pekerja mempunyai lima cadangan untuk membolehkan warga tua kita mengecapi matlamat ini: (1) pendaftaran secara auto bagi subsidi CHAS dan juga rawatan pesakit luar (outpatient) bagi kesemua warga Singapura apabila umur mereka mencecah 60 tahun, ini sebagai satu usaha bagi memperkukuhkan lagi jurang-jurang yang terdapat dalam sistem penjagaan kesihatan asas sejagat kita; (2) umur persaraan dihapuskan, umur peng-gajian semula dinaikkan kepada 70 tahun dan sumbangan CPF untuk pekerja yang sudah berusia dipulihkan supaya warga emas kita dapat terus bekerja selagi mereka masih mahu dan mampu; (3) CPF ditukar menjadi jaring keselamatan untuk warga tua, dimana umur kelayakan pembayaran (usia kelayakan menerima bayaran) diturunkan kepada 60 tahun dan ahli dibenarkan membuat pengeluaran sebahagian dari jumlah yang ada jika mereka tidak berkeupayaan untuk bekerja selama beberapa tempoh kerana isu kesihatan; (4) Penuaan di perkukuhkan lagi dengan mempromosikan Skim Beli Balik Pajakan HDB (LeaseBuy Back Scheme) kepada generasi Merdeka; (5) mengurangkan jurang perbezaan antara jantina bagi CPF dan simpanan lain bagi warga emas wanita kita, dengan meningkatkan jumlah tokokkan Medisave bagi golongan ini dan juga memberi insentif penyertaan agar mereka mendaftar diri bagi skim CareShield Hayat.

Tuan, penuaan secara berdikari adalah satu penuaan yang bermaruah dan bermakna bagi warga emas kita.

Sekiranya kita telah terlepas peluang dengan Generasi Perintis, janganlah kita melepaskan peluang ini terhadap generasi Merdeka.

Generasi Merdeka mewakili nilai, semangat, gagasan dan realisasi kemerdekaan.

Kita masih boleh melakukan sesuatu yang lebih baik bagi generasi Merdeka agar mereka lebih berdikari tanpa memerlukan banyak ketergantungan dalam meniti usia tua mereka.

Sekian – Terima Kasih Tuan.