Aspirations of Singapore Women – Speech by Faisal Manap

(Delivered in Parliament on 4 April 2017)

 

Puan, dalam perbincangan usul yang dibentangkan ini, iaitu ‘Aspirasi Wanita-wanita Singapura’, pelbagai usaha-usaha secara bersepadu dan kolektif harus diambil bagi meyokong kaum wanita Singapura mencapai aspirasi ini. Pemerintah, masyarakat, keluarga dan setiap individu harus memainkan peranan masing-masing.

Puan, dalam ucapan ini, saya ingin membincangkan tiga perkara dalam usaha memperkasakan kaum wanita Singapura agar mereka dapat memenuhi aspirasi kekeluargaan dan kerjaya dan lebih bersedia dalam menghadapi masa hadapan.  Pertama saya akan menyentuh tentang  beberapa perubahan dasar atau polisi yang harus dilakukan oleh pemerintah bagi membantu kaum wanita yang tergolong sebagai ‘vulnerable group’ atau golongan para ibu tunggal yang menghadapi liku dan cabaran kehidupan. Kedua, peranan para suami dalam memupuk nilai-budaya rumah rumahtangga yang lebih cenderung  dan menyokong agar para isteri dapat mengimbangi tanggunjawab kekeluargaan dan kerjaya dan terakhir adalah mengenai aspirasi Muslimah Singapura.

Puan, seperti yang disedari ramai, kehidupan para ibu tunggal amat mencabar. Mereka adalah pengasuh dan mereka juga adalah pencari rezeki. Kerumitan yang dihadapi oleh ibu tunggal harus menjadi keprihatinan semua pihak termasuk pemerintah. Dasar-dasar pemerintah harus lebih mejurus kearah meringankan bebanan yang dihadapi golongan ini.

Puan, pada April tahun lepas, pemerintah telah mengambil dua langkah perubahan dasar yang positif dalam membantu dan meringkankan cabaran dan beban para ibu tunggal yang belum berkahwin (unwed mother). Skim Child Development Account (CDA) telah dilanjutkan kepada anak-anak yang lahir diluar pernikahan dan cuti kelahiran atau ‘maternity leave’ selama 16 minggu juga telah dilanjutkan kepada para ibu tunggal ini sama seperti ibu-ibu yang lain. Perubahan ini amat mengalakkan dan diterima baik oleh masyarakat Singapura yang begitu prihatin terhadap para ibu tunggal. Saya berharap perubahan dasar yang dilakukan pada tahun lepas tidak berakhir disitu sahaja malah ia adalah sebagai sebuah langkah permulaan bagi pihak pemerintah untuk terus membantu golongan ini.

Puan, selain bantuan meringankan bebanan kewangan, ramai daripada para ibu tunggal yang belum berkahwin (unwed mother) juga mengharapkan perubahan pada dasar perumahan HDB.

Tempat kediaman adalah diantara keperluan asas bagi setiap insan. Ketiadaan tempat tinggal yang sempurna akan menjejas kualiti dan pembangunan insani dan juga keluarga. Bagi golongan ini, mereka tidak dibenarkan membeli rumah dibawah skim nukleus famili kerana anak kelahiran diluar pernikahan tidak dianggap sebagai sebahagian dari nuklues famili.  Mereka hanya layak untuk membeli rumah dibawah skim ‘single’ yang mempunyai syarat batasan umur 35 tahun keatas. Malangnya sebahagian besar golongan ibu tunggal belum berkahwin ini tidak mencecah umur 35 tahun, oleh itu tidak menepati syarat kelayakkan. Golongn ini juga tidak boleh menyewa flat menerusi skim rumah sewa awam atau Public Rental Scheme diatas factor yang sama, iaitu anak mereka tidak dianggap sebagai nukleus famili.

Puan, salah satu syarat dibawah skim rumah sewa awam iaitu tidak membolehkan penyewaan rumah selama 30 bulan selepas penjualan rumah flat juga menjadi rintangan kepada golongan ibu tunggal yang sudah bercerai untuk mendapatkan sebuah kediaman yang sempurna dan yang dimampui.

Rintihan ‘sudah jatuh ditimpa tangga’ selalu diucapkan oleh golongan ibu tunggal ini. Sudahlah mengharungi tekanan mental dan emosi semasa melalui proses penceraian dan ditinggalkan suami, harus pula berusaha, bertungkus-lumus tidak mengenal penat demi untuk memenuhi tanggungjawab sebagai pengasuh dan pencari rezeki keluarga. Dalam keadaan yang sedemikian, para ibu tunggal ini tidak seharusnya pula dibebani dengan kepayahan untuk mendapatkan tempat tinggal yang sempurna dan yang dimampui.

Puan, ramai anggota dewan samaada pada masa yang lalu dan juga kini telah menyuarakan keprihatinan tentang impak dari syarat yang dikenakan di bawah skim rumah sewa awam ini dan saya percaya keprihatian tentang perkara ini telah berlanjutan bertahun-tahun lamanya. Saya tidak akan menjelaskan perkara ini dengan lanjut kerana saya pasti HDB mengetahui perihal ini.

Harapan ramai adalah agar syarat ini dimansuh atau dikecualikan buat golongan ibu tunggal yang telah melalui process penceraian. Juga diharapkan agar HDB akan melakarkan dasar-dasar yang lebih cenderung dalam membantu dan memperkasakan golongan ibu tunggal dalam usaha mereka memenuhi keperluan asas kehidupan, iaitu sebuah kediaman yang kondusive dan dimampui terutama dalam mereka dan anak-anak mereka mengharungi detik-detik yang mencabar. Sokongan yang lebih positif dari HDB akan memudahkan para ibu tunggal untuk memenuhi aspirasi kekeluargaan dan kerjaya mereka.

Puan, perkara kedua yang saya ingin sentuh adalah peranan para suami dalam memupuk nilai-budaya rumah rumahtangga yang lebih kondusive dan menyokong bagi para isteri dalam mengimbangi tanggunjawab kekeluargaan dan kerjaya mereka. Saya akan berkongsi perspektif menerusi pengalaman saya sebagai seorang kaunselor rumahtangga dan kekeluargaan dan juga sebagai seorang suami.

Puan, rumahtangga adalah sebuah perkongsian hidup dimana suami dan isteri adalah rakan kongsi yang ingin mengecapi bersama sebuah rumahtangga yang harmonis dan kukuh. Nilai-nilai yang harus dipupuk jika ingin mencapai rumahtangga yang sedemikian adalah saling hormat-menghormati, percaya-mempercayai dan persefahaman. Nilai-nilai ini harus dipupuk, dipraktik dan dibudayakan didalam sesebuah rumahtangga. Dalam mengharungi suasana kehidupan yang pesat dan mencabar, pasangan suami-isteri harus bersedia untuk saling bantu-membantu dalam pengasuhan anak-anak, kerja-kerja rumah dan juga dalam perkembangan peribadi seperti kemajuan dari segi tahap pendidikan dan juga dalam kerjaya masing-masing. Pasangan suami-isteri terutamanya suami sebagai ketua keluarga harus menjadikan dirinya sebagai seorang pakar kaunseling dan motivasi kepada pasangan mereka agar dapat memberi sokongan moral, emosi, spiritual dan pembakar semangat kepada pasangan masing-masing untuk terus berusaha gigih dengan penuh kesabaran dan keyakinan. Seorang suami yang bersifat demikian akan membuat isterinya lebih bermotivasi dan positif dalam mengimbangi dan memenuhi aspirasi kekeluargaan dan kerjayanya.

Puan, perkara terakhir yang saya ingin utarakan adalah mengenai aspirasi muslimah Singapura. Kita telah mendengar ucapan-ucapan yang bersemangat dari beberapa AP-AP untuk meyakinkan dewan ini agar dengan sebulat suara menyokong usul yang dibentangkan, iaitu mengesahkan dan menyokong kaum wanita Singapura memenuhi aspirasi kekeluargaan dan kerjaya mereka. Saya disini mengharapkan agar anggota-anggota dewan ini tidak mengecualikan golongan muslimah Singapura yang ingin memenuhi aspirasi kerjaya seiring dengan tuntutan agama iaitu, membolehkan pemakaian tudung dalam kerjaya jururawat dan pasukan-pasukan seragam seperti Home Team dan Pasukan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).

Puan, banyak negara-negara didunia seperti Australia, UK dan Amerika Syarikat telah membolehkan pemakaian tudung bagi kaum muslimah didalam pasukan seragam mereka demi untuk membolehkan kaum muslimah mereka memenuhi tuntutan agama dalam masa yang sama memenuhi aspirasi kerjaya mereka. Soalan saya, bilakah Singapura akan mengambil langkah yang serupa?

Puan, dewan ini telah acap kali membincangkan tentang membina sebuah masyarakat Singapura yang inklusif, dimana setiap kaum walaupun hidup dalam keadaan berbilang budaya dan agama, dapat merasakan keprihatinan dan aspirasi mereka diberi perhatian yang sewajarnya. Sebagai seorang warga Singapura Muslim dan juga seorang suami dan bapa kepada seorang anak perempuan, saya menyeru kepada pemerintah agar merealisasikan laungan Inklusiviti yang selalu kedengaran didalam dewan ini. Harapan saya adalah agar pemerintah dapat mempertimbangkan semula permintaan masyarakat Islam agar kaum muslimah Singapura diberi peluang dalam memenuhi aspirasi kerjaya mereka dan pada masa yang sama memenuhi tuntutan agama.

Puan, saya ingin mengakhiri ucapan dengan memetik sebuah kata hikmah iaitu, ‘Wanita Adalah Tiang Negara, jika kuat tiangnya kuat lah negara jika lemah lemah lah negara’. Puan, sebuah negara dimana nilai budaya kekeluargaan dan masyarakat serta dasar-dasar pemerintah yang cenderung kearah memperkasakan kaum wanita, akan melahirkan sebuah negara yang kukuh pada segala aspek, kekeluargaan, sosial dan ekonomi.

Terima kasih Puan.