A Dynamic Population for a Sustainable Singapore: Reclaiming Back Singapore – MP Muhamad Faisal Bin Abdul Manap (Malay Speech)

Puan Speaker,

Dalam laporan Berita Harian tarikh 30 Januari 2013,  Menteri Bertanggungjawab bagi Hal Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yacob Ibrahim, telah memberi jaminan bahawa Perdana Menteri telah berjanji akan mengekalkan kesimbangan nisbah kaum selepas pihak pemerintah mengeluarkan Saranan Kertas Putih mengenai Kependudukan. Dr Yacob seterusnya mengatakan bahawa Perdana Menteri telah bercakap mengenainya sebanyak dua kali.

Saya ingin menanyakan kepada pemerintah dua soalan tentang perkara ini. Yang pertama, apakah langkah-langakah atau cara-cara yang akan diambil oleh pemerintah dalam mengimbangi nisbah kaum ini agar misbah kaum Melayu tidak terjejas atau berkurangan. Ini memandangkan situasi dimana, (i) kadar Kelahiran (Total Fertility Rate) masyarakat Melayu terus berkurangan tahun demi tahun dan (ii) Perdana Menteri pernah mengatakan di satu sesi ‘Perbincangan Singapura Kita’ pada Disember lalu bahawa Pemerintah telah berusaha bersungguh-sungguh dan bekerja keras untuk menarik bakat Melayu dari Malaysia dan Indonesia namun bilangannya amat kecil setiap tahun.

Soalan kedua, berapakah jumlah atau kadar pendatang Melayu yang dirancangkan atau dianggarkan oleh pemerintah untuk mengekalkan keseimbangan kaum ini.

Satu lagi perkara yang menyumbang kepada kemerosotan peratusan kaum Melayu adalah penghijrahan. Dalam menjawab Soalan Parlimen yang saya ketengahkan tentang berapakah jumlah Rakyat Singapura yang telah melucutkan status kerakyatan mereka dari tahun 2001 hingga ke  2011 serta pecahannya dari segi kaum. Timbalan Perdana Menteri Encik Teo, mengatakan sejumlah 10,900 Rakyat Singapura telah melucutkan kerakyatan mereka. Dimana dalam purata 1000 dalam setahun. Pecahan dari segi kaum adalah seperti berikut, separuh, iaitu 500, dari kaum Cina dan lainnya, sebanyak 500, adalah campuran dari kaum Melayu, India dan kaum-kaum lain. Puan, Walaupun jawaban yang diberi tidak menunjukan bilangan kaum Melayu secara tepat, namun dari pengamatan saya jumlahnya agak banyak.

Semasa saya menuntut di Melbourne Australia selama tiga tahun, saya dapati ramai keluarga-keluarga Melayu yang berhijrah kesana. Setelah bertanyakan kepada keluarga-keluarga ini saya dapati antara sebab-sebab mereka membuat keputusan untuk berhijrah adalah mereka merasakan tidak diberi peluang yang saksama semasa ditanah air Singapura.

Merujuk kepada muka surat hadapan Berita Minggu, semalam, di bawah tajuk ‘Aspirasi bina masa depan lebih baik’. Artikel ini melaporkan Pengerusi ‘Suara Musyawarah’, Encik Sallim Abdul Kadir, mengatakan bahawa rumusan daripada para peserta forum yang baru-baru ini diadakan adalah tentang isu ‘Peluang Saksama’ dan bukan mengenai isu diskriminasi. Selanjutnya beliau mengatakan bahawa ‘Ini adalah satu isu yang baru kita perhatikan yang menjadi topik perbincangan dalam sesi dialog Suara Musyawarah’.

Mungkin isu saksama adalah sesuatu yang baru bagi sesi dialog Suara Musyawarah. Namun menerusi interaksi, pengalaman dan pengamatan saya, isu saksama adalah suatu isu yang telah wujud sekian lama di kalangan masyarakat Melayu Singapura.

Pada Mac 2012, dalam ucapan AP Encik Zaqy Mohamed pada debat COS, beliau telah menyuarakan tentang perbincangan diantara beberapa individu-individu Melayu yang menyoalkan tentang dasar pemerintah mengenai peranan atau kedudukan masyarakat Melayu di dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan beliau telah meminta agar Kementerian dapat memberi penjelasan tentang perkara ini.

Rakan saya pula Puan Sylvia Lim pernah menanyakan di dalam dewan ini tentang sama ada wujudnya dasar pemerintah yang memberi ‘exemption’ atau perlepasan dari perkhidmatan negara (NS) bagi  graduan-graduan Madrasah. Sementara itu, saya sendiri pernah bertanya tentang sama ada wujudnya kuota kaum dalam pengambilan pelajar-pelajar di university awam di Singapura.

Soalan-soalan ini diajukan kerana ini adalah maklum balas-maklum balas yang saya dan rakan-rakan AP terima dari masyarakat Melayu. Dari maklum balas-maklum balas sedemikian, kita harus akui isu Saksama masih bermain-main di minda masyarakat Melayu.

Kertas Putih Pemerintah bertajuk “A Sustainable Population For A Dynamic Singapore” menerangkan, demi untuk pembangunan Singapura yang dinamik kita harus mempunyai jumlah penduduk yang Mampan atau substantial.

Kami, Parti Pekerja, berpendapat sebaliknya. Kami percaya untuk mencapai Singapura yang mampan, ia memerlukan pembinaan populasi atau masyrakat yang dinamik,

Ahirkata, Saya berpandangan bahawa untuk membina sebuah masyarakat yang dinamik dan Singapura yang mampan , sifat Inklusif, yang selalu diwarwarkan oleh Pemerintah, harus diaplikasikan dengan betul dan ikhlas, dalam erti kata setiap lapisan masyarakat tidak kira bangsa, bahasa dan agama diberikan hak yang Saksama dalam segala aspek kehidupan di tanahair kita ini. Puan, akhiri ucapan ini dengnan mengatakan saya menyangkal usulan ini.

Terima Kasih.